FIFA beri lampu hijau perpindahan kem Iran ke Mexico

FIFA beri lampu hijau perpindahan kem Iran ke Mexico

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabansga (FIFA) meluluskan permintaan luar biasa Iran untuk menukar lokasi pangkalan kem latihan mereka menjelang Piala Dunia, dalam satu perkembangan yang berlaku ketika rundingan damai membabitkan Amerika Syarikat (AS) terus berjalan.

Presiden Persekutuan Bolasepak Iran (FFIRI), Mehdi Taj mengesahkan perkara itu selepas beberapa siri perbincangan bersama FIFA dan pihak penganjur kejohanan.

Keputusan tersebut hadir ketika penyertaan Iran dalam kejohanan 48 pasukan itu sebelum ini dilihat tidak menentu susulan ketegangan geopolitik dengan AS serta isu keselamatan yang membelenggu persiapan mereka.

Iran yang diundi dalam Kumpulan G bersama New Zealand, Belgium dan Mesir sebelum ini berdepan kebimbangan besar apabila beberapa siri insiden konflik pada awal tahun mencetuskan ancaman untuk menarik diri daripada kejohanan, selain isu visa yang menjejaskan kehadiran mereka ke beberapa pertemuan rasmi FIFA.

Walaupun akhirnya mengesahkan penyertaan, Iran dilaporkan berdepan kesukaran logistik apabila semua perlawanan kumpulan mereka dijadualkan berlangsung di AS.

Situasi itu turut mendorong permintaan awal untuk memindahkan perlawanan ke Mexico, namun ditolak FIFA atas faktor operasi dan logistik.

Bagaimanapun, FIFA bersetuju meluluskan permintaan berasingan Iran untuk memindahkan pangkalan pasukan mereka dari Tuscan, Arizona ke Tijuana, Mexico.

Menurut Taj, keputusan itu dicapai selepas beberapa pertemuan bersama pegawai FIFA di Istanbul, Turkiye serta sesi perbincangan dalam talian bersama setiausaha agung badan induk bola sepak dunia itu.

Iran kini berada di Turkiye bagi menjalani kem latihan sebelum memulakan saingan menentang New Zealand pada 15 Jun di Stadium SoFi, Inglewood, California.

Mereka kemudian akan kembali ke venue sama untuk aksi kedua menentang Belgium sebelum menutup saingan kumpulan berdepan Mesir pada 27 Jun.

Pemindahan pangkalan ke Tijuana dijangka memberi sedikit kelegaan kepada pasukan itu dari segi logistik perjalanan, dengan jarak penerbangan ke Los Angeles hanya sekitar satu jam, selain membuka ruang penyelarasan lebih mudah terhadap urusan perjalanan ketika hari perlawanan.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan antara AS dan Iran dilaporkan masih diteruskan bagi mencapai perjanjian damai selepas gencatan senjata yang dicapai sebelum ini, sekali gus menambah dimensi politik terhadap persiapan Iran ke kejohanan terbesar dunia itu.

Iran melayakkan diri ke Piala Dunia pada Mac lalu selepas menjuarai Kumpulan A kelayakan Asia dan ia merupakan penampilan ketujuh mereka di pentas berkenaan dengan sasaran utama untuk melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali.

Scroll to Top