Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) Peringkat 4 Divisyen berlangsung meriah di Dataran Bagan Datuk, Perak pada 23 hingga 24 Mei 2026.
Perkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara

Penganjuran karnival ini merupakan inisiatif di bawah Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang diperkasakan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai pelan hala tuju strategik lima tahun bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan negara.
Fokus utama karnival ini adalah Teras 4 PSPN iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam–Tentera (Civil-Military Cooperation, CIMIC), yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan serta tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Program peringkat 4 Divisyen ini dilaksanakan oleh Briged Kedua Infantri Malaysia dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk serta PERAK SEJAHTERA 2030. Ia bertujuan mendekatkan Tentera Darat Malaysia bersama masyarakat, di samping memberi pendedahan mengenai kesiapsiagaan, keupayaan serta peranan tentera dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara terus terpelihara.

Selain itu, penganjuran ini turut bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pertahanan negara, memperkukuhkan hubungan antara Tentera Darat Malaysia dan rakyat serta menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Program ini juga menjadi platform bagi memperluas kesedaran awam terhadap dasar keselamatan negara seperti Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society(WoGoS).
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk demonstrasi tempur tanpa senjata, demonstrasi memadam kebakaran, Survival Village, pameran aset ketenteraan serta pameran agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Turut diadakan reruai interaktif, pameran kerjaya, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, acara derma darah, sukan tentera seperti road relay dan circuit training, pertandingan sukan tradisional, pertandingan memasak serta food carving.

Pada malam 23 Mei pula, program Forum Perdana turut diadakan, di samping aktiviti santai seperti fun walk, persembahan busker, jualan Rahmah, perkhidmatan perpustakaan bergerak serta pelbagai aktiviti keluarga. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui cabutan bertuah.
Kanak-kanak dan remaja tidak ketinggalan menikmati pengisian seperti pertandingan mewarna, kuiz interaktif serta aktiviti berkonsepkan latihan ketenteraan yang memberi pendedahan awal kepada dunia ketenteraan secara lebih dekat.
Selain mendekatkan masyarakat dengan Tentera Darat Malaysia, program ini turut membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menyertai Askar Wataniah sebagai sebahagian usaha bersama mempertahankan negara.
Karnival ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara tentera dan masyarakat, memupuk semangat patriotisme serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara khususnya dalam kalangan generasi muda. Pada masa sama, ia turut membantu merancakkan ekonomi setempat melalui penyertaan usahawan kecil, peniaga tempatan serta pengusaha makanan dan produk tempatan Negeri Perak.

Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Turut hadir ialah Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Hj Mohd Shauari bin Hj Mat Piah; Dato’ Shahrul Zaman bin Yahya, ADUN Rungkup; Tuan Wasanthee A/P Sinnasamy, ADUN Hutan Melintang; Toh Seri Lela Paduka Dato’ Dr. Khalid bin Ismail, Orang Besar Jajahan Bagan Datuk; Datuk Haji Khairuddin bin Tarmizi, Pegawai Tugas-Tugas Khas KKDW (Parlimen Bagan Datuk); serta Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Rosli bin Abu Bakar, Panglima 2 Briged.




