Masak didapur sekadar hobi – Aina Abdul

Masak didapur sekadar hobi – Aina Abdul

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, tampil menjelaskan mengenai perkongsian konten aktiviti memasaknya di media sosial yang mula dipersoal segelintir pihak, baru-baru ini.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkongsi, aktiviti memasak di dapur itu hanyalah sekadar hobi untuk mengisi masa terluang serta menjadi terapi buat dirinya ketika ini.

“Tidak perlu fikir dengan mendalam sangat. Itu (masak) sekadar mengisi masa terluang saya. Memasak adalah terapi saya pada ketika ini,” tulisnya di ruangan komen pada hantaran seorang individu di Threads, baru-baru ini.

Dalam hantaran yang sama, pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu turut mengakui bahawa sesi siaran langsung di media sosialnya adalah salah satu cara untuk dia berinteraksi secara dekat dengan peminat.

“Secara tidak langsung saya dapat berhubung dengan peminat yang selalu minta saya buat ‘live’.

“Saya kurang pengetahuan memasak jadi kesilapan memang tidak dapat dielakkan, itu sahaja,” tulisnya lagi.

Aina berkongsi perkara itu bagi menjawab pertanyaan seorang individu yang mempersoalkan kekerapannya melakukan siaran langsung memasak di media sosial.

Pengguna Threads itu mendakwa dia keliru dengan konten aktiviti dapur tersebut yang disifatkannya seperti tidak selari dengan imej Aina sebagai seorang penyanyi.

Bagaimanapun, respons yang diberikan oleh Aina itu meraih maklum balas positif dalam kalangan netizen yang rata-ratanya memahami kecenderungannya untuk melakukan perkara yang membahagiakan dirinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top