Aidiladha: 3.02 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya Karak, LPT1

Aidiladha: 3.02 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya Karak, LPT1

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sejumlah 3.02 juta dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sepanjang tempoh cuti perayaan Aidiladha dan cuti persekolahan sepanjang tempoh dari 22 Mei lalu hingga 2 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata daripada jumlah itu, 2.18 juta kenderaan menggunakan laluan Lebuhraya KLK, manakala LPT1 pula dianggarkan menerima sebanyak 843,000 kenderaan sepanjang tempoh itu.

Bagi trafik puncak harian pula, katanya, Lebuhraya KLK dijangka merekodkan sehingga 208,550 kenderaan sehari, manakala LPT1 dianggarkan mencapai 105,577 kenderaan sehari.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan, masing-masing sebanyak 66 peratus di Lebuhraya KLK dan 71 peratus di LPT1 berbanding hari biasa.

“Peningkatan ketara aliran trafik ini menuntut seluruh pengguna jalan raya lebih berdisiplin, sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas demi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar sepanjang musim perayaan.

“Kerajaan negeri juga menasihati pengguna jalan raya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan TTA yang dikeluarkan AFA Prime Berhad bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidiladha 2026 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Mengulas program advokasi, beliau berkata, ia memainkan peranan penting sebagai medium pendidikan dan peringatan berterusan kepada masyarakat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Katanya, pendekatan advokasi bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan undang-undang, malah turut memupuk nilai tanggungjawab, disiplin dan budaya pemanduan berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top