London: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menuduh legenda kelab itu, Roy Keane menipu mengenai usahanya memecahkan rekod bantuan gol terbanyak dalam satu musim Liga Perdana Inggeris (EPL).
Fernandes mencipta rekod baharu dengan 21 bantuan gol buat United musim ini apabila membantu jaringan Patrick Dorgu ketika kemenangan 3-0 ke atas Brighton & Hove Albion, semalam.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini menyamai rekod lama milik Thierry Henry dan Kevin De Bruyne ketika United menewaskan Nottingham Forest 3-2, minggu lalu.
Bagaimanapun, bekas pemain tengah United, Keane, dilihat kurang senang dengan usaha Fernandes memburu rekod berkenaan.
Keane yang terkenal lantang bersuara mendakwa Fernandes lebih mementingkan pencapaian individu berbanding kepentingan pasukan dan menyifatkan situasi itu sebagai ‘aksi sarkas’.
Bercakap dalam podcast The Overlap, Keane berkata: “Selepas perlawanan menentang Forest, dia ditemu bual dan berkata ‘beberapa kali saya sepatutnya melepaskan rembatan tetapi saya memilih untuk membuat hantaran’.
“Wow. Bagaimana mentaliti seorang pemain bola sepak boleh masuk ke perlawanan dengan memikirkan rekod individu? Dia tidak akan memenangi trofi dengan mentaliti seperti itu.”
Namun, bekas kapten United itu sebenarnya tersilap mentafsir kenyataan Fernandes apabila bintang Portugal itu berkata: “Mungkin ada beberapa situasi di mana saya sepatutnya membuat hantaran berbanding melakukan rembatan.
“Saya gembira dengan bantuan gol itu, tetapi lebih gembira dengan kemenangan dan menamatkan musim dengan baik.”
Ketika ditanya mengenai kritikan Keane, Fernandes membidas legenda Old Trafford itu.
“Seperti yang saya selalu katakan, saya tidak kisah dikritik,” kata Fernandes dalam podcast The Diary of a CEO.
“Apa yang saya tidak suka apabila orang menipu dan dalam kes Roy Keane ini, apa yang dia katakan adalah satu pembohongan.
“Sama ada dia menonton temu bual lain atau dia tidak boleh mengatakan saya menyebut sesuatu yang langsung tidak saya katakan. Mujur semuanya direkodkan.”
Fernandes berkata dia menerima hakikat Keane mungkin tidak menyukainya sebagai pemain atau individu, namun kecewa apabila kenyataannya diputar belit.
Prestasi cemerlang Fernandes musim ini membantu United menamatkan saingan EPL di tangga ketiga selain meraih anugerah Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak dan Liga Perdana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




