lokman.khairi@hmetro.com.my
Sepang: Pendaki tempatan, Khafiz Bachok yang berjaya menawan puncak Gunung Everest minggu lalu, menitiskan air mata kegembiraan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Khafiz, 47, atau lebih dikenali Kicok kelihatan mengalami luka di kedua-dua pipi kesan reput frost akibat cuaca sejuk ekstrem negatif 40 darjah Celsius dengan kelajuan angin antara 20 hingga 50 kilometer (km) sejam ketika pendakian dari Camp 4 menuju puncak.
Katanya, kejayaan menawan puncak tertinggi dunia itu bukan untuk membuktikan kemampuan dirinya, sebaliknya sebagai memenuhi impian yang dipupuk sejak 20 tahun lalu.
“Alhamdulillah, hari ini saya selamat tiba di KLIA selepas lebih kurang 52 hari ekspedisi ke Gunung Everest bermula 4 April lalu.
“Saya memulakan pendakian akhir ke puncak Everest pada 11 Mei dan berjaya tiba di puncak pada 18 Mei, jam 5.24 pagi,” katanya ketika ditemui di KLIA, di sini, hari ini.
Mengulas cabaran sepanjang ekspedisi, Khafiz berkata, tahun ini dianggap antara paling sukar dalam beberapa tahun kebelakangan susulan keadaan berbahaya di Khumbu Icefall selain cuaca buruk.
Katanya, pasukan pemasang tali juga berdepan kesukaran untuk membuka laluan ke Camp 1 menyebabkan dia terpaksa mengubah strategi latihan dan pendakian.
“Cuaca sejak dari Camp 3 pada ketinggian lebih 7,000 meter memang sangat teruk dengan angin mencecah 40 hingga 50 kilometer sejam dan suhu sehingga negatif 40 darjah Celsius.
“Muka saya sampai beku seperti yang boleh dilihat sekarang, tetapi alhamdulillah dengan bantuan sherpa berpengalaman kami berjaya,” katanya.
Khafiz berkata, seorang lagi pendaki Malaysia, Margaret Chew yang turut menyertai ekspedisi itu bagaimanapun terpaksa berpatah balik di South Col pada ketinggian 7,900 meter atas faktor keselamatan.
Katanya, keadaan terlalu sesak dengan pendaki lain ketika itu selain faktor cuaca menyebabkan Margaret dinasihatkan tidak meneruskan pendakian ke puncak.
Khafiz berkata, pendakian itu juga bertujuan merakam dokumentari televisyen yang bakal disiarkan sempena bulan kemerdekaan nanti mengenai perjalanan hidupnya mengejar impian mendaki Everest.
Menurutnya, minat terhadap Everest tercetus selepas mendapat inspirasi daripada pendakian Datuk M Magendran dan Datuk N Mohanadas pada 1997 sebelum dia memulakan misi ‘Road to Everest’ sejak 2006.
“Selepas 20 tahun mencari pengalaman, membuat latihan dan mencari dana, akhirnya saya berjaya.
“Sebelum ini, saya juga berjaya mendaki Gunung K2 di Pakistan iaitu gunung kedua tertinggi dunia serta Gunung Manaslu, gunung kelapan tertinggi dunia,” katanya.
Menurutnya, pengalaman mendaki K2 yang dikenali antara gunung paling sukar di dunia banyak membantu terutama ketika menuruni Everest yang sering dianggap lebih berbahaya berbanding pendakian ke puncak.
“Ramai bercakap mengenai pengalaman sampai ke puncak, tetapi sebenarnya cabaran untuk turun semula lebih sukar dan berbahaya.
“Bagaimanapun kali ini saya rasa perjalanan turun agak lebih mudah kerana keadaan angin sudah semakin reda selain pengalaman lalu banyak membantu,” katanya.
Dalam pada itu, Khafiz mengakui tragedi menimpa pendaki Malaysia di Everest pada 2023 turut menghantui fikirannya sepanjang pendakian terutama ketika melalui laluan berbahaya menuju puncak.
“Tragedi itu memang bermain dalam fikiran saya dan membuatkan saya lebih berhati-hati terutama memastikan keadaan fizikal, bekalan oksigen dan tenaga sentiasa mencukupi untuk turun semula dengan selamat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




