Jaslinda dipercayai tersasar ke Gunung Rayu, SAR bersambung esok

Jaslinda dipercayai tersasar ke Gunung Rayu, SAR bersambung esok

Bidor: Penemuan botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di sini menjadi petunjuk terbaharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa Jaslinda Saludin, 49.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Yusri Mohd Yusoff @ Hashim berkata penemuan barangan itu menunjukkan mangsa telah tersasar daripada laluan asal pendakian dan bergerak ke arah Gunung Rayu.

“Berdasarkan maklumat yang kami peroleh daripada pasukan penyelamat bersama-sama dengan seorang malim, kami mendapati mangsa telah tersasar daripada laluan yang sepatutnya dituruni berdasarkan penemuan kesan-kesan ini.

“Kami jumpa botol air mangsa, suplemen, bekas suplemen, jejak tapak kaki dan bekas bungkusan gula-gula yang dipercayai milik mangsa di laluan menuju Gunung Rayu. Kami percaya mangsa masih meneruskan pergerakan berdasarkan kesan-kesan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pos Kawalan Hadapan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Yusri berkata pihaknya juga percaya mangsa tidak tersasar disebabkan kekuatan fizikal wanita berkenaan yang dimaklumkan mengalami sakit pada bahagian kaki.

“Kami harap dia tidak tersasar dan daripada yang kami selidik, tiada laluan lain yang dia boleh tersasar. Dia akan terus ke Gunung Rayu,” katanya.

Sementara itu, operasi SAR ditangguh pada 5.30 petang tadi akibat cuaca yang tidak mengizinkan pesawat AW139 untuk menghampiri lokasi pasukan penyelamat pertama (pasukan semalam) bagi menghantar pasukan penyelamat kedua bergabung di lokasi berkenaan.

Operasi dijadualkan disambung semula seawal 8 pagi esok dengan perancangan menghantar pasukan baharu dan membawa keluar anggota yang telah berada di lokasi selama dua malam.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Dia dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi Ahad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top