Ahli Parlimen PKR Wong Chen ditamatkan perkhidmatan Pengerusi MDV

Ahli Parlimen PKR Wong Chen ditamatkan perkhidmatan Pengerusi MDV

Kuala Lumpur: Pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), Wong Chen, mendedahkan tempoh perkhidmatannya ditamatkan secara mengejut oleh Kementerian Kewangan.

Wong Chen yang juga wakil rakyat PKR bagi Parlimen Subang berkata, beliau dimaklumkan pihak pengurusan MDV sebelum mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah pada jam 10 pagi semalam bahawa mereka menerima surat daripada kementerian.

Menurutnya, surat itu mengarahkan pihak pengurusan menamatkan jawatannya sebagai pengerusi bukan eksekutif berkuat kuasa 31 Mei ini.

Beliau menyifatkan penamatan mendadak itu sebagai satu “anomali pelik”.

“Mereka tidak pun menghantar surat itu kepada saya secara langsung. Tiada panggilan telefon atau penjelasan mengapa tempoh perkhidmatan saya ditamatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wong Chen berkata, beliau pada awalnya enggan menerima jawatan itu ketika dilantik pada Mei 2023 kerana berpegang kepada prinsip bahawa ahli Parlimen tidak sepatutnya memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Saya tidak meminta jawatan itu, tetapi diarahkan Perdana Menteri untuk melapor diri dan membersihkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika mengambil alih jawatan itu, institusi kewangan berkenaan berdepan masalah apabila merekodkan kerugian RM18.6 juta pada 2022 yang meningkat kepada RM56.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 2023, selain moral kakitangan rendah dan kadar keluar masuk pekerja yang tinggi.

Menurutnya, fokus utama beliau ketika itu adalah memperkukuh tadbir urus termasuk mengekang pengaruh ahli politik dan individu berkepentingan.

“Saya tidak melayan panggilan telefon atau WhatsApp daripada individu berpengaruh. Sebaliknya saya meminta mereka menghantar surat rasmi jika mempunyai sebarang permintaan. Tiada siapa berbuat demikian dan selepas enam bulan, tiada lagi gangguan,” katanya.

Selepas pelaksanaan struktur tadbir urus yang lebih ketat, MDV kembali mencatat keuntungan pada 2024 dengan keuntungan sederhana RM3.4 juta.

Katanya, prestasi keuntungan MDV terus meningkat dengan ketara bagi tahun kewangan 2025, melebihi dua kali ganda keuntungan 2024, namun beliau tidak dapat mendedahkan angka sebenar sehingga laporan tahunan rasmi diterbitkan.

Tambah beliau, susulan momentum positif itu, MDV melancarkan Hari Integriti pada 11 Mac lalu dengan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh dasar toleransi sifar terhadap rasuah serta pematuhan dan ketelusan dalaman yang lebih ketat.

Walaupun tempoh perkhidmatannya ditamatkan secara mengejut, Wong Chen berkata beliau tidak menyesal dengan penglibatannya bersama MDV.

“Saya menjadi sebahagian daripada keluarga MDV yang menunjukkan keberanian dan ketahanan luar biasa serta membuktikan bahawa dengan struktur tadbir urus yang betul, kita mampu bangkit semula. Dan kami berjaya melakukannya.

“Pemulihan MDV juga membuktikan bahawa dengan tadbir urus yang baik, semua GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga mampu mencapai perkara sama,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan MDV atas peluang berkhidmat bersama mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top