EMPAT negeri dijangka menerima manfaat besar hasil gelombang pemindahan operasi pembuatan Singapura ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranan negara ini sebagai hab pembuatan dan logistik serantau di ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang
Negeri terlibat ialah Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kerana mempunyai infrastruktur industri yang baik serta kedudukan yang berhampiran dengan Singapura.
Perkembangan tersebut juga berpotensi mewujudkan sehingga 100,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung di seluruh negara.
Profesor Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Siong Hook berkata, Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) merupakan salah satu pemangkin utama yang mempercepatkan pemindahan dan pengembangan operasi pengilang Singapura ke Malaysia.

Gambar kecil: Prof Dr Law Siong Hook
Menurutnya, inisiatif tersebut mengintegrasikan kekuatan kewangan dan teknologi Singapura bersama ekosistem pembuatan Johor yang lebih berdaya saing dari segi kos.
“Walaupun masih belum ada anggaran rasmi yang menyeluruh, kesan limpahan ini dijangka agak besar dalam tempoh lima hingga tiga tahun akan datang.
“Malaysia berpotensi mencatat peningkatan tambahan sekitar 10 hingga 20 peratus dalam aliran masuk FDI berkaitan sektor pembuatan dan teknologi dalam beberapa tahun akan datang, khususnya dalam sektor semikonduktor, logistik, AI, pusat data dan pembuatan berteknologi tinggi.
“Perkembangan ini juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik, kejuruteraan dan perkhidmatan teknikal.
“Berdasarkan trend pelaburan semasa dan pelaksanaan JS-SEZ, gelombang pemindahan operasi ini berpotensi mewujudkan sekitar 50,000 hingga 100,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung di seluruh negara dalam tempoh sederhana,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Beliau menambah, Malaysia juga boleh memperoleh manfaat daripada pemindahan teknologi, kepakaran pengurusan dan integrasi yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan serantau dan global.
“Syarikat Singapura biasanya membawa standard operasi yang lebih baik, penggunaan automasi dan budaya produktiviti yang lebih tinggi, yang boleh membantu meningkatkan keupayaan industri tempatan.
“Perkembangan industri turut merangsang sektor sokongan seperti pengangkutan, pergudangan, pembinaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Gelombang pemindahan operasi pembuatan khususnya sektor makanan dan minuman Singapura ke luar negara itu semakin ketara apabila beberapa jenama besar mula menyusun semula tapak pengeluaran mereka pada 2026.
Strategi perniagaan
Dalam tempoh singkat antara Mac hingga Mei, nama seperti Tiger Beer, Yeo’s dan Gardenia mencerminkan corak sama iaitu pengeluaran berskala besar atau intensif buruh dialihkan ke negara jiran, manakala Singapura terus dikekalkan sebagai pusat fungsi bernilai tinggi.
Pada 24 Mac lalu, Heineken mengumumkan operasi pengeluaran berskala besar di kilang Tuas, Singapura, yang menjadi lokasi pembuatan Tiger Beer, akan dihentikan secara berperingkat menjelang akhir 2027, lapor Reuters.

Yeo’s dilaporkan memberhentikan 25 pekerja di fasiliti
Senoko selepas memindahkan operasi pembuatan tin ke
Malaysia.
Tidak lama selepas itu, Yeo Hiap Seng atau Yeo’s turut mengambil langkah hampir sama apabila 25 pekerja di fasiliti Senoko diberhentikan selepas operasi pembuatan tin dipindahkan ke Malaysia.
Channel NewsAsia (CNA) pada 30 April melaporkan, langkah Yeo’s dan Tiger Beer sebagai sebahagian daripada perubahan lebih luas dalam sektor pembuatan makanan Singapura, apabila kos buruh, ruang industri dan tenaga yang tinggi mendorong syarikat mencari lokasi pengeluaran lebih kompetitif di rantau ini.
Trend tersebut semakin jelas apabila Gardenia Foods pada 20 Mei 2026 mengumumkan pemindahan operasi pengeluaran bakerinya dari Singapura ke Johor Bahru, menyebabkan 141 pekerja di fasiliti Pandan Loop diberhentikan.

Gardenia dilapor akan memindahkan operasi pengeluaran
bakeri dari Singapura ke Johor Bahru. Pengeluaran di fasiliti
Pandan Loop akan dihentikan.
Siong Hook menjelaskan, banyak syarikat memindahkan operasi pembuatan mereka dari Singapura ke Malaysia dan Vietnam kerana syarikat yang terlibat sedang mencari kos pengeluaran yang lebih rendah, ruang industri yang lebih besar serta daya saing jangka panjang yang lebih baik.
Faktor tersebut juga disebabkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura semakin menumpukan kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan bernilai tinggi, kewangan, digital, inovasi dan teknologi maju.
“Malaysia dan Vietnam menawarkan kos buruh yang lebih rendah, tanah industri yang lebih murah, insentif cukai yang menarik serta ekosistem pembuatan yang semakin berkembang.
“Malaysia khususnya mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur yang lebih baik, rantaian bekalan yang matang, keserasian budaya dan perniagaan dengan syarikat Singapura, serta kedudukan geografi yang sangat dekat.
“Kos gaji pekerja, sewaan premis, utiliti, dan pematuhan peraturan di Singapura jauh lebih tinggi berbanding negara ASEAN yang lain,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan, Malaysia perlu memastikan pelaburan yang masuk selari dengan strategi pembangunan jangka panjang negara yang menumpukan kepada industri bernilai tinggi, pembangunan tenaga kerja mahir, kelestarian dan peningkatan teknologi, bukannya hanya menjadi destinasi pengeluaran kos rendah semata-mata.
Katanya, walaupun Malaysia menerima pelaburan baharu dan peluang pekerjaan, terdapat juga beberapa risiko dan kesan negatif jangka panjang yang perlu diberi perhatian.
“Antaranya ialah risiko kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap syarikat asing dan permintaan luar negara.
“Jika keadaan ekonomi global merosot atau syarikat memutuskan untuk berpindah ke negara lain yang lebih murah pada masa depan, Malaysia boleh berdepan kehilangan pekerjaan dan ketidakstabilan industri secara mendadak.
“Selain itu, Malaysia berisiko terperangkap dalam aktiviti pembuatan bernilai rendah atau sederhana sekiranya tidak memberi penekanan kepada inovasi, automasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan modal insan.
Keadaan ini boleh menghadkan pertumbuhan produktiviti dan peningkatan gaji pekerja dalam jangka panjang,” katanya.
INFO peralihan operasi syarikat di Singapura ke Malaysia:
Gardenia Foods
Tutup pengeluaran bakeri di Pandan Loop, Singapura pada 30 Jun 2026 dan pindah operasi ke Johor Bahru. Seramai 141 pekerja diberhentikan.
Yeo Hiap Seng / Yeo’s
Hentikan operasi pembuatan tin di fasiliti Senoko, Singapura dan pindahkan pengeluaran ke Malaysia, melibatkan fasiliti kumpulan di Johor dan Selangor. Seramai 25 pekerja diberhentikan.
Asia Pacific Breweries Singapore / Tiger Beer / Heineken
Hentikan secara berperingkat pengeluaran bir berskala besar di Tuas, Singapura menjelang akhir 2027. Pengeluaran dialihkan ke kilang serantau termasuk Malaysia dan Vietnam. Kira-kira 130 pekerjaan terjejas.
KTL Global
Memindahkan sebahagian besar operasi Singapura ke Johor, termasuk pengeluaran tali keluli berat dan rigging untuk sektor minyak dan gas. Operasi dipindahkan ke Tanjung Langsat, Johor.



