MINA – Dalam kepenatan dan cuaca panas yang menguji fizikal jemaah haji ketika menuju ke Kompleks Jamarat, ada antara mereka yang terpaksa berhenti berehat di tepi laluan akibat keletihan, sakit badan dan kekurangan tenaga.
Di saat itulah Pasukan Peronda Perubatan Tabung Haji (TH) tampil menjadi antara ‘wira tidak didendang’ yang setia meredah kesesakan ribuan jemaah bagi memastikan keselamatan dhuyufurrahman Malaysia terus terpelihara sepanjang ibadah melontar jamrah.
Timbalan Ketua Peronda Perubatan, Dr Amir Suhaimi berkata, seramai 30 anggota perubatan telah dibahagikan kepada lapan kumpulan kecil untuk melakukan rondaan secara berterusan di sepanjang laluan Kompleks Jamarat.

Dr Amir Suhaimi
Menurut beliau, setiap anggota pasukan telah dilatih dengan kepakaran Bantuan Hayat Asas (Basic Life Support-BLS) bagi membolehkan bantuan kecemasan diberikan terus di lokasi kejadian.
“Kami akan bergerak sehala dan dalam perjalanan itu, kami akan mencari dan mendekati jemaah-jemaah yang terpaksa duduk di tepi laluan kerana kesakitan atau keletihan untuk diberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, operasi rondaan itu dilakukan menggunakan sistem selang masa satu jam antara satu kumpulan dengan kumpulan seterusnya bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara berterusan.
Menurutnya, operasi di laluan Jamarat amat mencabar kerana pasukan peronda tidak mempunyai pilihan untuk berpatah balik selepas memulakan gerakan berikutan arus pergerakan jemaah yang terlalu padat.
“Sekiranya bantuan tambahan diperlukan, komunikasi antara pasukan akan dilakukan supaya kumpulan seterusnya dapat membantu jemaah tersebut bagi memastikan semua proses berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Amir berkata, kesesakan luar biasa jemaah dari negara-negara lain turut menyebabkan pasukan peronda kadangkala berdepan kelewatan untuk tiba ke lokasi jemaah yang memerlukan bantuan.
“Ada kalanya kami berdepan cabaran seperti ditahan oleh pihak polis Arab Saudi dan pelbagai halangan lain daripada jemaah luar negara sewaktu melakukan operasi rondaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini tiada kes terlalu kritikal dilaporkan melibatkan jemaah Malaysia di Kompleks Jamarat.
“Kebanyakan kes yang kami kendalikan adalah kes ringan seperti terseliuh, jatuh sehingga menyebabkan luka atau sakit pinggang,” katanya.
Menurut beliau, bagi kes ringan, rawatan segera diberikan terus di lokasi, manakala bagi kecemasan yang lebih serius, bantuan awal akan diberikan sebelum jemaah dirujuk ke klinik kecemasan atau hospital.
Tambahnya, jemaah yang didapati masih mampu berjalan selepas menerima rawatan awal dibenarkan untuk kembali ke tempat penginapan masing-masing.
Kehadiran pasukan peronda perubatan TH di celah ribuan jemaah bukan sahaja membantu memberikan rawatan segera, malah mencerminkan kesiapsiagaan TH dalam memastikan kebajikan Dhuyufurrahman terus terpelihara sepanjang musim haji.



