am@hmetro.com.my
Temerloh: Seorang pemandu ambulans swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang juga mangsa penderaan.
Muhammad Iqbal Fitri Mazlan, 29, didakwa di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan atas pertuduhan membunuh Mohamad Hayder Abdul Mukmin di sebuah rumah di Taman Seberang Temerloh Indah 2A, di sini, kira-kira jam 9 pagi pada 11 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 September 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes itu pada awalnya disiasat sebagai kes penderaan kanak-kanak selepas mangsa berusia dua tahun empat bulan dibawa ke Hospital Temerloh dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 13 Mei lalu.
Bagaimanapun, siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala (blunt force trauma to the head).
Polis kemudian menahan tertuduh dan ibu mangsa di Tanah Perkuburan Pengkalan Manggis, Temerloh pada 20 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Tertuduh yang juga teman lelaki kepada ibu mangsa ditahan susulan siasatan lanjut berhubung kematian kanak-kanak berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




