am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang penyewa tidak menyangka bau busuk dari rumah kedai miliknya di Kampung Padang, Pokok Mangga, di sini, berpunca bau mayat reput mangsa bunuh yang disembunyikan dalam gulungan tilam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita yang juga pemilik rumah sewa itu kira-kira jam 7 malam semalam.
Menurutnya, wanita terbabit datang memeriksa keadaan premis itu untuk disewakan kepada penyewa baharu.
Beliau berkata, dia bagaimanapun terhidu bau busuk dan melihat ada bungkusan mencurigakan di ruang tamu rumah lalu menghubungi polis.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi dan menemui mayat berbungkus dalam tilam berkenaan.
“Setakat ini identiti dan jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat sudah hancur.
“Polis percaya mangsa meninggal dunia lebih dua minggu hingga sebulan lalu. Mangsa juga ditemui dengan tangan diikat dan dibungkus dalam gulungan tilam,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah di Dewan Terbuka, Balai Polis Malim, di sini, tadi.
Menurut Dzulkhairi, hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur pembunuhan berdasarkan keadaan di tempat kejadian.
“Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, rumah itu disewa seorang wanita sebelum dihuni anak lelakinya yang juga suspek.
“Ketika ditahan suspek masih dalam keadaan khayal dan belum dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dari segenap aspek termasuk mengenal pasti motif kejadian dan hubungan mangsa dengan suspek,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




