Tiga dekad tanpa bahang

Tiga dekad tanpa bahang

Abu Dhabi: Jemaah haji dari seluruh dunia dijangka tidak perlu berdepan dengan cuaca panas terik di Semenanjung Arab untuk tempoh hampir tiga dekad akan datang apabila musim haji 2025 disahkan sebagai fasa terakhir kitaran musim panas melampau, lapor Gulf News.

Musim haji tahun ini (2026) dilaporkan bertembung dengan hari-hari terakhir musim bunga, sekali gus menjadi musim haji pada 2025 sebagai yang terakhir berlangsung dalam bulan-bulan musim panas yang terik.

Fenomena ini bermakna ibadah haji tidak lagi akan jatuh pada musim panas dalam tempoh beberapa dekad sebelum kembali semula ke musim itu selepas kira-kira 25 tahun.

Musim haji pada masa hadapan dijangka mengalami cuaca musim bunga yang lebih redup diikuti oleh keadaan musim sejuk yang lebih sejuk dan kadang kala hujan, mengimbas kembali musim haji sekitar 1990-an.

Perkara ini berlaku disebabkan sifat kalendar lunar Islam yang kira-kira 11 hari lebih pendek daripada kalendar solar Gregorian, menyebabkan tarikh ibadah haji berubah setiap tahun merentasi keempat-empat musim.

Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Astronomi Emiriah yang juga ahli Kesatuan Arab bagi Astronomi dan Sains Angkasa, Ibrahim Al Jarwan mengesahkan bahawa musim Haji dari 2018 hingga 2025 bertembung dengan beberapa tempoh musim panas paling panas dan kering di rantau berkenaan.

Ibadah haji sebelum ini berlangsung dalam Mei, Jun, Julai dan Ogos iaitu bulan yang dikenali dengan suhu melampau serta keadaan iklim yang sangat mencabar bagi jemaah.

Ibrahim menjelaskan bahawa musim haji 2026 menandakan permulaan peralihan secara beransur-ansur ke arah keadaan cuaca yang lebih redup memandangkan ia akan bertembung dengan hari-hari terakhir musim bunga.

Katanya, musim haji 2025 boleh dianggap sebagai “musim perpisahan” kepada ibadah haji dalam keadaan cuaca musim panas sebelum ia beralih daripada kemuncak panas musim itu selama hampir 25 tahun, dan hanya kembali ke musim panas selepas tahun 2050.

Beliau berkata, peralihan itu berkait dengan sifat kalendar lunar Islam yang berasaskan peredaran bulan mengelilingi Bumi.

Ibrahim menambah bahawa satu kitaran lengkap peralihan musim haji kembali ke musim yang sama mengambil masa kira-kira 32 hingga 33 tahun kalendar Gregorian, sekali gus menjelaskan sebab ibadah haji berulang antara musim panas, luruh, sejuk, dan bunga dalam tempoh beberapa dekad.

Katanya, ibadah haji dijangka akan berlaku sepenuhnya pada musim bunga iaitu sekitar April pada 2029, manakala bermula 2034 dan seterusnya, ia akan memasuki musim sejuk yang lazimnya bertembung dengan Februari.

Ibadah haji dijangka kekal dalam tempoh musim sejuk yang lebih sejuk sehingga sekitar tahun 2040.

Menurut Ibrahim, peralihan ibadah haji ke musim bunga dan musim sejuk dalam beberapa tahun akan datang bakal mengubah pengalaman haji secara signifikan kerana suhu yang lebih rendah serta keadaan cuaca yang lebih sederhana sekali gus memberikan kesan positif terhadap keselamatan Jemaah dan kualiti perkhidmatan yang disediakan.

Suhu yang lebih rendah juga dapat mengurangkan risiko strok haba dan keletihan haba serta meningkatkan keselesaan Jemaah khususnya dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Selain itu, keadaan cuaca yang lebih baik turut memberi kelonggaran yang lebih besar dalam pergerakan antara lokasi utama ibadah haji seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Purata suhu musim panas di Makkah biasanya antara 43 darjah Celsius semasa suhu tertinggi pada waktu siang dan 28 darjah Celsius semasa suhu terendah waktu malam dengan suhu pada waktu malam antara 28 hingga 30 darjah Celsius pada musim panas di Makkah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top