PSG belum puas, buru gelaran ketiga berturut-turut

PSG belum puas, buru gelaran ketiga berturut-turut

Budapest: Paris Saint-Germain (PSG) belum mahu berhenti mencipta sejarah apabila menyasarkan kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) ketiga berturut-turut selepas berjaya mempertahankan trofi berprestij Eropah itu.

Pengendali PSG, Luis Enrique, begitu teruja meraikan kejayaan pasukannya sehingga berlari memasuki padang sebaik tamat perlawanan final menentang Arsenal di Budapest.

PSG muncul pasukan kedua berjaya mempertahankan kejuaraan dalam era UCL selepas menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti 4-3 susulan keputusan seri 1-1 selepas 120 minit permainan.

Kejayaan itu hadir setahun selepas kelab Perancis berkenaan menewaskan Inter Milan 5-0 pada final musim lalu.

Sebelum melangkah ke final, PSG turut mengharungi aksi separuh akhir mendebarkan apabila menyingkirkan Bayern Munich dengan agregat 6-5.

Kapten PSG, Marquinhos, berkata kejayaan mempertahankan trofi lebih sukar berbanding memenanginya buat kali pertama.

“Jurulatih memberitahu kami bahawa memenangi gelaran kedua adalah lebih sukar. Seluruh pasukan berjuang bersama dan menunjukkan kekuatan mental yang tinggi,” katanya.

Pertahanan Brazil itu kemudian menetapkan sasaran lebih besar buat PSG.

“Kami memiliki skuad yang sangat muda. Kami mampu memenanginya buat kali ketiga berturut-turut,” katanya.

Pada usia 32 tahun, Marquinhos antara pemain paling berpengalaman dalam skuad itu yang turut dibarisi pemain muda seperti Willian Pacho, Nuno Mendes, Joao Neves, Vitinha, Khvicha Kvaratskhelia dan Bradley Barcola.

Pemain sayap muda Perancis, Desire Doue, turut menyuarakan keyakinan bahawa PSG mampu meneruskan dominasi mereka di Eropah.

“Kejayaan pertama memang luar biasa, tetapi kami lebih mahu memenangi gelaran kedua untuk mencipta sejarah dan menjadi legenda.

“Saya amat menyayangi kelab ini dan perjalanan kami belum berakhir. Kami sudah memenangi gelaran kedua dan kini mahu terus bekerja keras untuk memburu yang ketiga,” katanya.

Rekod tiga kejuaraan berturut-turut dalam era moden pernah dicapai Real Madrid dari 2016 hingga 2018, manakala sebelum itu hanya Bayern Munich dan Ajax melakukannya pada era 1970-an.

Luis Enrique bagaimanapun enggan terlalu awal mengisytiharkan PSG pasti akan memenangi trofi itu sekali lagi, namun mengakui sasaran berkenaan wajar diletakkan oleh kelab berstatus gergasi Eropah itu.

“Kami boleh bercakap mengenai kejuaraan berturut-turut dan juga tiga kali berturut-turut. Kelab ini dan penyokong kami layak memiliki cita-cita seperti itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top