Heung-min tutup mulut pengkritik

Heung-min tutup mulut pengkritik

Provo, Utah: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min, menjawab persoalan mengenai prestasinya dengan cara terbaik apabila meledak dua gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Trinidad dan Tobago dalam aksi persahabatan pemanas badan Piala Dunia, hari ini.

Pemain berusia 33 tahun itu menjadi tumpuan menjelang Piala Dunia selepas masih gagal menjaringkan gol bersama Los Angeles FC dalam saingan Major League Soccer musim ini.

Son membuka jaringan Korea Selatan menerusi penyudah jarak dekat pada minit ke-40 sebelum menggandakan kelebihan pasukannya menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Hwang Hee-chan turut mencatat nama sebagai penjaring manakala pemain gantian, Cho Gue-sung, menyumbat dua gol pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan besar ke atas lawan yang berada jauh di belakang mereka dalam ranking dunia.

“Saya fikir keyakinan kami sedikit terjejas selepas tewas dua kali pada Mac lalu kepada Pantai Gading dan Austria. Kami mahu membina semula keyakinan itu dan meneruskan momentum ini.

“Tidak mudah untuk menang 5-0 tanpa mengira siapa lawannya. Jadi saya harap orang ramai tidak menganggap perkara ini biasa. Semua pemain berhak menerima pujian dan saya percaya kami sedang bergerak ke arah yang betul,” kata Son.

Dua gol itu menyaksikan Son kini mengumpul 56 jaringan antarabangsa, hanya dua gol di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman Korea Selatan, Cha Bum-kun.

Bagaimanapun, Son menegaskan rekod peribadi bukan keutamaannya.

“Bagi saya, perkara paling penting adalah bermain baik untuk pasukan dan ia tidak semestinya mengenai menjaringkan gol.

“Membuat pengorbanan untuk pasukan dan melakukan apa sahaja yang diperlukan pasukan adalah perkara yang paling saya gemari sepanjang karier saya,” katanya.

Korea Selatan yang diundi dalam kumpulan bersama tuan rumah bersama Piala Dunia, Mexico, Afrika Selatan dan Republik Czech akan menentang El Salvador dalam satu lagi aksi persahabatan sebelum memulakan kempen menentang Republik Czech di Guadalajara pada 11 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top