
Anwar menyampaikan sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas naungan serta kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam memayungi negara berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Anwar berkata, di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Kerajaan Madani terus melangkah dengan penuh dedikasi dan keyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara berpaksikan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Kerajaan Madani tertegak dan kukuh dengan kesetiaan dan perpaduan rakyat yang rata-rata dipupuk semangat serta tekad untuk membina negara meski berdepan dengan badai dan sikap perkauman.
“Demikian hikmah yang kita warisi dari leluhur bangsa dan pejuang kemerdekaan. Maka muafakat keramat negara tersebut telah menzahirkan Perlembagaan yang menyediakan sistem yang mewajarkan kehadiran sistem beraja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian semasa merafak sembah ucapan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama, Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta perwakilan asing.
Anwar berkata, kerajaan akan meneruskan usaha mematangkan proses demokrasi dan memperkukuh negara hukum (mengikut hukum dan peraturan), selaras dengan penekanan Sultan Ibrahim terhadap kepentingan tatakelola yang teratur dan memerangi pemunggahan kekayaan terhafap kelompok kecil.
“Kerajaan bertekad untuk melaksanakan dasar yang saksama, menjamin pengagihan kepada semua negeri dan wilayah terutamanya kalangan miskin dan terpinggir,” kata beliau.
Menyentuh mengenai ketidaktentuan dunia termasuk tekanan ekonomi global, perubahan iklim, ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta dinamika geopolitik serantau yang semakin kompleks, beliau berkata kerajaan terus melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kestabilan negara dan mengurangkan beban rakyat.
“Maka, cabaran mengemudi bahtera negara harus lebih bijak dengan mengharungi kemelut dengan menetapkan dasar dan ikhtiar yang menjamin kestabilan dan mengurangkan beban ditanggung rakyat.
“Antara prakarsa yang dihamparkan termasuk langkah penjimatan cermat, penyasaran subsidi minyak RON95 dan Budi Madani,” kata Perdana Menteri. – Bernama



