Hikayat Fandom lancar ensiklopedia mini, kerjasama antarabangsa di PBAKL 2026

Hikayat Fandom lancar ensiklopedia mini, kerjasama antarabangsa di PBAKL 2026

KUALA LUMPUR: Hikayat Fandom melancarkan siri Ensiklopedia Mini Berilustrasi Kepulauan Melayu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkenalkan kisah, warisan dan ketamadunan Kepulauan Melayu kepada generasi baharu serta khalayak antarabangsa.

 Berlangsung di Pentas Dunia Buku, majlis pelancaran tersebut menghimpunkan ahli akademik, penggiat budaya, pembaca dan pencinta warisan dalam satu perayaan ilmu yang menggabungkan sastera, kesarjanaan, penceritaan dan seni persembahan tradisional.

Ensiklopedia yang dibangunkan melalui kerjasama 25 pakar, ilustrator, editor dan pereka dari enam negara, siri lima jilid ensiklopedia itu merangkumi Tamadun Dunia Silam, Legasi Dunia Maritim, Bahasa dan Sastera, Warisan Seni dan Budaya dan Tokoh Ikonik

 Forum yang berlangsung sempena pelancaran tersebut dikendalikan oleh Dr Nasirin Abdillah dan menampilkan Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican, Ninot Aziz serta budayawan Indonesia Rahma Yuniarsih.

Program turut menampilkan tayangan Mayang Sari, kolaborasi video muzik budaya bersama penyanyi dan penulis lagu terkenal Aisha Retno, diikuti persembahan tukang cerita  Hikayat Storyteller Guild berinspirasikantarian Asyik yang memperkenalkan SITI: Queen of theEastern Skies oleh pencerita dan penggiat seni Tun Alia.

 Penceritaan tradisional oleh Mat Rebab sebagai Tok Selampit, bersama persembahan Cik Milik dari tradisi Mek Mulung dan Zapin Salor, menjadikan acara ini satu perayaan hidup warisan budaya tidak ketara rantau ini.

 Pengiktirafan Antarabangsa dan Perluasan Kreatif

 Mengukuhkan lagi kedudukan Hikayat Fandom di peringkat antarabangsa, tiga penerbitannya telah dipilih dalam senarai 50 Judul Malaysia Terbaik untuk Hak Antarabangsa (2024–2026) oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

 Judul-judul tersebut ialah Beyond The Malay Archipelago: An IllustratedEncyclopaedia of Ancient Southeast Asia, Kembara Leyla: Rahsia Empayar Uthmaniyah karya Ninot Aziz dan A Book of Poems: The Meowgical Tails of Malaysia karya Prof Bee.

Hikayat Fandom turut mengumumkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pembikin dokumentari Amerika Syarikat, Will Harper, bagi meneroka kerjasama dalam bidang filem, dokumentari, permainan papan, kandungan pendidikan dan penceritaan transmedia yang diinspirasikan oleh warisan Kepulauan Melayu.

 Pengunjung juga diperkenalkan kepada koleksi treler buku dan inisiatif penceritaan multimedia yang bertujuan menghidupkan karya sastera untuk khalayak masa kini.

 Balai Gema Hikayat Terus Berlangsung di GMBB

 Pelancaran ini turut membina momentum Balai Gema Hikayat, sebuah galeri mini imersif yang sedang berlangsung di Lot 1-13, Aras 1, GMBB sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

 Menampilkan warisan Mak Yong, Mek Mulung, Wayang Kulit dan seni penceritaan tradisional, pameran ini terus menarik pengunjung dari dalam dan luar negara melalui pameran interaktif, persembahan budaya dan pengalaman pendidikan.

 “Sejak awal lagi, Hikayat Fandom tidak pernah sekadar menerbitkan buku. Visi kami adalah membina dunia yang berakar pada warisan, sejarah dan imaginasi — dunia yang mampu mewujudkan hubungan budaya yang bermakna merentasi generasi dan sempadan,” kata Pengasas Hikayat Fandom, Ninot Aziz.

 

Katanya, Hikayat Fandom merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Yayasan Hasanah, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kota Buku, ASTRO, Astro Awani dan Walkabout Asia atas sokongan berterusan dalam memperkukuh ekosistem budaya negara. – UTUSAN

Scroll to Top