TV3 komited hasil kandungan fenomena, ikut citarasa penonton

TV3 komited hasil kandungan fenomena, ikut citarasa penonton

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sempena sambutan ulang tahun ke-42, TV3 kekal komited untuk menjadi stesen televisyen utama menerusi penghasilan kandungan asli berkualiti yang dekat di hati dan citarasa penonton masa kini.

Mengangkat tema “Hanya Yang Fenomena Di Sini”, Pemangku Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen dan Kandungan Media Prima, Farah Shamsudin berkata, pengiktirafan yang diterima di peringkat domestik dan antarabangsa membuktikan program terbitan stesen televisyen itu sentiasa relevan dan dekat di hati penonton.

“Selama empat dekad, kami telah menghasilkan fenomena tersendiri dengan kandungan original (asli). Malah, sesetengah rancangan ikonik masih bertahan dan bersiaran di TV3 sehingga kini seperti Malaysia Hari Ini (MHI) dan Wanita Hari Ini (WHI).

“Bukan sahaja slot drama yang pelbagai, program hiburan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), dokumentari Majalah 3 serta Karnival Jom Heboh (KJH) terus menjadi platform utama kami mendekati penonton secara bersemuka,” katanya.

Farah berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Ulang tahun ke-10 Ejen Ali dan Ulang tahun TV3 ke-42 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, Marlia Zul Amran.

Menurut Farah, kecemerlangan kandungan TV3 turut diiktiraf di pentas Asia menerusi kemenangan di beberapa anugerah berprestij termasuk ‘Content Asia Awards’ dan ‘Content Asia Creative Awards’.

Katanya, kejayaan terbabit membakar semangat TV3 untuk terus mencipta lebih banyak fenomena buat tatapan generasi akan datang.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan dan strategi mengekalkan kelangsungan, Farah menegaskan TV3 sentiasa peka dengan kehendak khalayak serta peredaran zaman agar kandungan dihasilkan kekal segar.

“Kami mahu terus menghasilkan kandungan yang segar dan baharu. Antara pembaharuan terkini yang dibawakan termasuklah acara ‘Cat Fashion Week’ khusus buat pencinta kucing serta penganjuran Anugerah Melodi, yang kini impaknya tidak hanya terhad di kaca televisyen, tetapi turut meluas di platform media sosial.

“Selain itu, kami juga meneroka penghasilan drama mikro dan setakat ini, lebih enam atau tujuh naskhah drama mikro itu telah dihasilkan,” katanya.

Katanya, TV3 mengambil pendekatan fleksibel untuk menyantuni penonton yang berdepan kekangan masa, tetapi masih mahu menikmati karya drama.

“Jika penonton mahu drama pendek, kami sediakan micro drama berdurasi lima minit. Kelainan kami adalah sentiasa peka dan mendengar kehendak penonton agar kandungan disajikan terus melekat dalam ingatan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, TV3 melancarkan sebuah lagi drama mikro bersiri berjudul ‘Offside Husband’ yang menampilkan gandingan pelakon Elfira Loy dan Imran Aqil tepat jam 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, sambutan ulang tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti Media Prima seperti Mior Abdul Malek Raiyani, Farah Nabilah Wazer, Fahmi Tajuddin, Vinsla Santhiran, Hirsham Azmi dan Syakirah Zulkifli.

Selain itu , pelakon suara Ida Rahayu Yusoff dan Shafiq Isa turut hadir sempena ulang tahun ke-10 Ejen Ali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top