mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain gitar utama XPDC, Mohd Zulkily Nik Hussin atau Izo memaklumkan sukar untuk mendapatkan semula sentuhan berbisa untuk album terbaru mereka.
Ia berikutan King Studio di Petaling Jaya yang dianggap sebagai ‘studio keramat’ untuk rakaman album band-band rock seperti album terdahulu XPCDC sudah menutup operasi sejak 2002.
“Kalau ikutkan proses rakaman album sekarang agak mudah dengan adanya teknologi digital, tapi dari aspek lain agak susah untuk mendapatkan ‘sound’ seperti era 1990-an.
“Ia berbeza dengan sistem analog yang digunakan semasa rakaman album XPDC dahulu, malah kepuasannya sukar digambarkan oleh kami yang merasainya.
“Untuk album terbaru XPDC, saya terpaksa teliti ketika memasukkan bunyi yang sesuai untuk kekalkan identiti muzik XPDC. Saya perlu masukkan bunyi yang bersesuaian,” katanya.
Izo, 62, berkata dia akan membuang elemen tidak bersesuaian dan akan mencari muzik yang sinonim dengan XPDC walaupun terpaksa mengambil masa agak lama.
“Tanpa King Studio memang satu masalah kerana dari jurutera bunyi sehinggalah semuanya, tahu kerja masing-masing. Semua proses dibuat di situ dari rakam dan adun (mixing).
“Tapi tak apalah, sekarang kami rakam di studio sendiri dan cuba yang terbaik. Mana bunyi yang kurang kami akan tambah,” katanya lagi.
Terdahulu, pemain drum XPDC, Lola berkata, syarikat rakaman Life Records meminta mereka menghasilkan album dengan membawa semula roh rakaman album Kita Peng-Yu (terbitan 1994) yang mencatat jualan 150,000 unit dan Brutal (1997) yang merekod jualan 300,000 unit.
XPDC kini dianggotai oleh Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) akan muncul bersama vokalis terbaru, Mamu Zul Fazli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




