am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha untuk menyebarkan mana-mana ajaran yang difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di Sabah pada 2019.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata berikutan itu, tindakan diambil selepas menerima aduan awam berhubung kumpulan ajaran sesat yang mengadakan program di sebuah dewan sekolah, di sini, semalam.
Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata susulan aduan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS menjalankan operasi terhadap program kumpulan itu membabitkan seramai 52 anggota penguatkuasa JHEAINS.
“Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 itu dikendalikan kumpulan Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang juga berkait dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.
“Seramai 52 anggota Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS diarahkan untuk melaksanakan operasi itu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seramai 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan.
“Hasil operasi yang dijalankan mendapati program itu sudah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei 2026 dan dianggarkan dihadiri hampir 300 orang peserta dari seluruh Sabah,” katanya.
Beliau yang juga EXCO Agama negeri berkata, pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani dipamerkan dalam dewan sepanjang program berlangsung.
“Semua bahan berkaitan diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 serta diwartakan pada 2007.
“Justeru, umat Islam di negeri ini hendaklah berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




