'Niat baik akan dipermudahkan, walaupun kami tak pernah berjumpa sebelum diijabkabulkan'

'Niat baik akan dipermudahkan, walaupun kami tak pernah berjumpa sebelum diijabkabulkan'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Temerloh: Detik diijabkabulkan pada 23 Mei lalu menjadi hari istimewa buat pasangan orang kurang upaya (OKU) fizikal ini selepas tidak pernah bersua muka sepanjang dua tahun perkenalan mereka.

Wan Shazrul Nazreen Wan Hanasir, 31, yang tidak dapat berjalan kerana masalah kaki lemah mengakui sama sekali tidak menyangka hidupnya berubah sekelip mata apabila sah bergelar suami kepada Noor Hedayah Morad, 35 yang berstatus OKU fizikal akibat kudung kedua-dua belah kaki .

Berkongsi kisahnya, Wan Shazrul Nazreen yang mesra disapa Nazreen berkata, dia berkenalan dengan Noor Hedayah menerusi TikTok pada Mei 2023 dan terpikat kerana melihat kebolehan isterinya yang pandai memasak, melukis serta berdikari dalam banyak hal selepas menonton perkongsian video di platform berkenaan.

“Ketika itu, videonya kerap muncul setiap kali saya buka TikTok dan nampak dia wanita luar biasa walaupun ada kekurangan jadi terdetik dalam hati untuk berkenalan. Disebabkan itu, saya beranikan diri dengan hantar kiriman mesej tapi waktu itu, isteri tak balas.

“Selepas dua bulan, saya cuba hantar lagi kiriman mesej dan dibalas, sejak itu kami mula berkenalan dan mengenali hati budi satu sama lain,” katanya kepada Harian Metro.

Nazreen yang menetap di Kampung Bukit Tingkat, di sini, berkata dia dan isterinya berkawan selama lebih dua tahun sebelum sepakat mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.

Meskipun begitu, Nazreen yang mencari rezeki dengan perniagaan kedai runcit tidak pernah bercinta sebelum mengenali isterinya jadi mengakui agak gementar untuk melangkah jauh dalam perhubungan.

“Pada awalnya memang agak sukar untuk saya berterus terang dengan mama (ibu) dan ayah mengenai perancangan nak berkahwin, tapi mereka yakin Allah SWT sudah tentukan rezeki dan jodoh setiap hamba-Nya, malah keluarga tetap percaya niat baik akan dipermudahkan.

“Alhamdulillah mereka terima dengan hati yang terbuka dan beri sokongan kepada kami,” katanya.

Biarpun sudah selamat mendirikan rumah tangga, Nazreen masih berasa seperti bermimpi yang dirinya kini sudah bergelar suami dan mengemudi bahtera rumah tangga.

“Jujurnya kami tak pernah sangka akan bergelar suami isteri kerana tahu kekurangan diri masing masing tapi tidak dapat menidakkan ketentuan Allah SWT.

“Lagipun, kami tak pernah berjumpa sebelum menjadi suami isteri tapi Allah SWT takdirkan bersatu di atas pelaminan.

“Saya berdoa dan berharap rumah tangga yang dibina ini akan berkekalan hingga ke jannah Allah SWT. Semoga Allah SWT kurniakan kami zuriat yang soleh dan solehah serta bahagia dunia hingga akhirat, insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top