khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membuka laluan kepada mandat baharu daripada rakyat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sepanjang penggal lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor telah membuktikan bahawa kestabilan politik, tadbir urus berkesan serta agenda pembangunan yang jelas mampu memberikan hasil bermanfaat kepada rakyat.
“Daripada rekod pelaburan dan kewujudan peluang pekerjaan sehinggalah kepada bantuan kebajikan dan pembangunan infrastruktur, Johor terus melangkah ke hadapan dengan penuh cemerlang.
“Pembubaran DUN ini menandakan satu lagi lembaran penting dalam perjalanan demokrasi Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, DUN Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya.
Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam turut melahirkan keyakinan, rakyat Johor akan membuat pilihan mereka dengan bijak berdasarkan prestasi, visi dan komitmen terhadap masa depan negeri itu.
“Dalam persediaan kita menghadapi PRN ini, marilah kita menjunjung semangat demokrasi, saling menghormati dan bersatu-padu serta bekerjasama ke arah Johor yang lebih makmur dan progresif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




