Nora Danish tidak fikir cari pengganti

Nora Danish tidak fikir cari pengganti

Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Gambar

Kuala Lumpur: “Fasa saya sekarang, Alhamdulillah. Saya memang tak fokus lagi pada percintaan,” kata pelakon Nora Danish.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 44, mengakui terkejut dengan perubahan dirinya walaupun mulanya suka berfikir mahu berkahwin secepat mungkin.

“Sebab saya suka ada ‘partner’ dalam kehidupan, tapi Alhamdulillah sejak menceburi bidang sukan, fokus lebih kepada pickleball. Jadi macam tak fikir sangatlah,” katanya ketika ditemui pada pertandingan Pickleball 5 Bomoh di Cave PP ClubPickleball, Jalan Ampang, malam tadi.

Nora yang pernah melalui dua episod perkahwinan yang berakhir dengan perceraian bagaimanapun tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.

Bagaimanapun, pelakon itu tidak menolak kemungkinan bertemu jodoh pada masa depan dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah.

“Serah kepada Allah itu saja. Kalau ada jodoh, ada. Mungkin bertemu jodoh di pickleball ‘court’ (gelanggang) ke, siapa tahu,” katanya dalam nada berseloroh.

Pelakon yang dikenali menerusi sitkom Puteri pada era 2000 ini berkata, dia lebih selesa memberi tumpuan kepada aktiviti yang memberi manfaat kepada dirinya selain menikmati fasa kehidupan yang sedang dilaluinya.

Menurutnya, pada masa sama, dia tidak lagi aktif mencari cinta selain menolak dakwaan dihujani mesej usikan daripada mana-mana lelaki dalam media sosial.

“Doakan. Saya memang tiada siapa lagi dan tak mencari dah. Tak ada (orang DM), tengoklah telefon saya. Semua macam baik saja, mereka tak ‘try’ (cuba mengurat),” katanya lagi.

Terdahulu, Nora pernah memuat naik foto memaparkan momen sepanjang Ogos 2025 termasuk gambar seorang lelaki berkopiah dan berkaca mata yang dikenali sebagai Mickey Ayo.

Ia sekali gus mengundang banyak spekulasi, namun Nora mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung dakwaan sedang menjalin cinta dengan perunding kewangan terbabit.

Dia bagaimanapun tampil mengesahkan lebih selesa berkawan dengan Mickey selepas mendapati mereka kurang persefahaman dalam pelbagai aspek.

Nora berkahwin buat kali pertama dengan Rizal Ashram Ramli pada 2006 sebelum bercerai pada 2008. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Putra Rayqal.

Dia kemudian berkahwin kali kedua dengan Mohd Nedim Nazri pada 2017 dan bercerai pada 2024. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Mohamed Neqayl.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top