
Aksi beliau tular di media sosial. – Foto YouTube Reason & Theology
ACCRA – Seorang lelaki dikenali sebagai Ebo Noah yang mendakwa dirinya mempunyai kuasa kenabian dan sering membuat ramalan kiamat menjadi perhatian ramai selepas tular satu rakaman video.
Rakaman tersebut menunjukkan dia seolah-olah ‘dikalahkan’ oleh ombak ketika sedang mencuba ‘membelah laut’ di sebuah kawasan pantai di Ghana.
Kejadian itu berlaku pada 24 Mei lalu itu di sebuah kawasan berbatu di pesisir pantai Ghana, ketika lelaki berkenaan dilihat berdiri sambil mengangkat kedua-dua tangan ke arah laut dalam satu aksi yang menyerupai kisah Nabi Musa membelah lautan.
Namun, tindakan tersebut bertukar menjadi detik memalukan apabila ombak besar yang datang secara tiba-tiba menghentam dan menghayunkannya sehingga hampir terjatuh sebelum dia akhirnya dihanyutkan arus.

Rakaman menunjukkan lelaki itu dihayutkan arus ketika dilambung ombak besar.- Foto RT
Rakaman kejadian yang dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kemudian tular di platform media sosial seperti X dan TikTok, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet yang rata-ratanya menyindir tindakan tersebut.
Difahamkan, Ebo Noah atau nama sebenarnya Evans Eshun sebelum ini terkenal dengan dakwaan ramalan ‘kiamat’ pada 25 Disember 2025, termasuk mendakwa beliau telah diarahkan membina beberapa buah bot bagi menyelamatkan manusia dan haiwan daripada banjir besar yang dikatakannya bakal berlaku.
Namun, ramalan tersebut tidak menjadi kenyataan sebelum beliau kemudian mendakwa bahawa tarikh berkenaan telah ditangguhkan selepas beliau berpuasa dan berdoa selama beberapa minggu.
Selain itu, beliau turut aktif memuat naik kandungan berkaitan ‘wahyu’ dan amaran bencana di media sosial sehingga menarik perhatian ramai, termasuk pihak berkuasa di Ghana yang sebelum ini dilaporkan pernah menahannya bagi tujuan siasatan berhubung penyebaran maklumat yang mencetuskan panik awam.
Insiden terbaharu di tepi laut itu sekali lagi mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai kredibiliti dakwaan beliau, dengan sebahagian menganggapnya sebagai hiburan semata-mata, manakala yang lain melihatnya sebagai isu serius berkaitan pengaruh individu terhadap kepercayaan masyarakat.
Sehingga kini, video berkenaan terus menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi, sekali gus menambah lagi siri kontroversi yang mengiringi nama Ebo Noah dalam media sosial. – Agensi



