mdroji@bh.com.my
Kuching: Lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu dinaikinya bersama lapan individu lain terbalik akibat arus deras di Sungai Banting berhampiran Rumah Panjang Charang, di Lingga, Sri Aman, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Gerald anak Lansam, 42, dipercayai dihanyutkan arus sungai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.15 tengah hari, menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi kejadian yang tiba pada jam 2.45 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira 40 kilometer.
“Hasil maklumat awal mendapati sebuah perahu dinaiki sembilan individu mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dan terlanggar tiang jambatan.
“Perahu itu kemudian terbalik akibat arus sungai yang deras menyebabkan semua penumpang terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lapan mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung yang segera membantu menggunakan perahu sebaik menyedari kejadian itu.
“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan sempat berpaut pada tiang jambatan selepas perahu terbalik sebelum dilihat tenggelam ketika usaha menyelamat dijalankan,” katanya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini dijalankan dengan anggota bomba dan polis bersama penduduk kampung melaksanakan pencarian di permukaan air menggunakan perahu di kawasan mangsa kali terakhir dilihat.
Kejadian bot karam itu adalah yang kedua berlaku di Sarawak dalam tempoh tiga hari.
Dalam kejadian pertama di Nanga Balang Gaat, Kapit, pada 6.15 petang Ahad lalu, seorang lemas apabila perahu dinaikinya bersama enam penumpang karam selepas terlanggar batu di tengah sungai.
Mayat mangsa, Spielberg Dylan anak Sekunyir, 32, ditemui penduduk kampung pada jam 7.10 pagi tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




