Legenda Liverpool, Dalglish diuji kanser

Legenda Liverpool, Dalglish diuji kanser

London: Legenda Liverpool, Kenny Dalglish mendedahkan beliau kini sedang menjalani rawatan kanser.

Dalglish yang memenangi lebih 30 trofi bersama Liverpool sebagai pemain dan pengurus mengumumkan perkara itu menerusi media sosial.

“Memandangkan hantaran media sosial saya yang tidak disengajakan sudah menunjukkan perkara itu, saya kini sedang menjalani rawatan kanser. Tidak seperti cara saya menggunakan telefon bimbit, rawatan itu berjalan dengan baik,” tulis bekas pemain berusia 75 tahun itu di Instagram.

“Sepatutnya perkara ini kekal sebagai urusan peribadi kerana itulah yang sebaiknya. Namun kemahiran teknologi saya yang kurang baik menyebabkan perkara ini terbongkar.

“Sudah tentu saya tidak berniat untuk mendedahkan perkara ini kepada umum dan saya berharap privasi saya serta keluarga dihormati,” katanya lagi.

Dalglish menjaringkan 172 gol sepanjang 13 musim bersama Liverpool dan memenangi enam gelaran liga serta tiga Piala Eropah ketika era kegemilangan kelab Merseyside itu.

Beliau kemudian membimbing Liverpool sebagai pengurus dan menghadiahkan tiga lagi kejuaraan liga serta dua Piala FA pada era 1980-an.

Sementara itu, seorang lagi bekas penyerang prolifik Liverpool, Kevin Keegan turut mendedahkan semalam bahawa beliau menghidap kanser tahap empat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top