Sifat pelindung Liza Hanim terhadap Marsya, naluri biasa seorang ibu

Sifat pelindung Liza Hanim terhadap Marsya, naluri biasa seorang ibu

puterialia@hmetro.com.my

Subang Jaya: “Apabila melibatkan anak, sudah tentu kita akan menjadi seperti ‘singa betina’ yang mempertahankan anaknya. Itu perkara yang normal bagi seorang ibu.”

Begitu kata penyanyi, Liza Hanim, 47, yang menyifatkan sikap ‘overprotective’ kepada anak perempuannya, Marsya Qistina, 23, hanyalah tindakan naluri semulajadi sebagai seorang ibu.

Menurut Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, individu yang melabelnya dengan gelaran sedemikian mungkin tidak memahami bagaimana perasaan sebenar seorang ibu terhadap anak, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah menginjak ke alam dewasa.

“Setiap ibu pasti mempunyai perasaan yang sama. Apabila ada yang mengatakan saya bersikap sedemikian kerana mungkin mereka bukan ibu bapa atau belum pernah melalui situasi seperti ini.

“Sebagai seorang ibu, perasaan itu memang akan sentiasa ada. Anak-anak perlu tahu bahawa akan sentiasa ada seseorang yang menyokong dan membantu mereka apabila diperlukan.

“Bukan bermaksud kita memanjakan mereka sehingga tidak mampu berdikari. Anak saya seorang yang sangat berdikari dan matang untuk usianya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media single sulung Marsya berjudul Siapa Diriku di Semesta Event Space, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, meskipun sedar Marsya mampu berdikari serta menguruskan kehidupan dengan baik, Liza tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

“Anak saya seorang yang kuat dan tahu bagaimana untuk menguruskan kehidupannya sendiri. Dalam masa sama, saya juga belajar untuk lebih bertenang dan memberi ruang kepadanya.

“Saya juga perlu berubah dan belajar dari semasa ke semasa. Namun, sebagai seorang ibu, perasaan untuk melindungi anak-anak tetap ada,” katanya.

Sementara itu, Liza turut mengakui dia sama sekali tidak mengambil pusing dengan setiap komen sinis yang ditinggalkan oleh netizen terhadap dirinya sebelum ini.

“Saya juga tidak rasa terkilan apabila dilabel dengan pelbagai tanggapan.

“Jika mahu, saya juga boleh melabel orang lain dan mengatakan mereka tidak memahami kerana tidak mempunyai anak, tetapi saya tidak melihat perkara itu begitu,” kongsinya.

Terdahulu, netizen bertindak melabel Liza sebagai ibu yang terlalu melindungi Marsya sehingga mendakwa sikap itu menjadi punca karier seni Marsya tidak dapat berkembang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top