harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Yuslimezam Hashim meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Batang Kali-Genting di Hulu Selangor, hari ini.
Polis Pahang dalam satu hantaran di Facebook berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang berhampiran sebuah tapak perkhemahan, petang tadi.
“Dimaklumkan bahawa Superintendan Yuslimezam Hashim kembali ke rahmatullah hari ini akibat kemalangan motosikal.
“Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Pengerusi PERKEP Pahang, Datin Seri Sumarnie Haris mengucapkan salam takziah buat keluarga arwah dan mendoakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama-sama golongan orang beriman,” menurut kenyataan dalam hantaran itu.
Difahamkan, Allahyarham yang menunggang motosikal kemalangan dengan dua kenderaan berhampiran tapak perkhemahan pada 4.46 petang.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kemalangan itu dalam masa terdekat.
Terdahulu kemalangan terbabit tular di media sosial selepas penduduk memuat naik beberapa gambar memaparkan kesesakan jalan raya akibat insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




