Israel terus gempur selatan Lubnan

Israel terus gempur selatan Lubnan

BEIRUT – Situasi di Asia Barat kembali meruncing selepas Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan, sekali gus menjejaskan proses damai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang masih belum dimuktamadkan. Perkembangan itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik baharu di rantau berkenaan.

Presiden Donald Trump yang berang dengan tindakan melulu sekutu kuatnya itu mendakwa Israel dan Hizbullah bersetuju untuk menamatkan pertempuran.

Menerusi catatan di media sosial, Trump menyatakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kononnya berjanji tidak akan mengerahkan pasukan tentera ke pinggir selatan Beirut dan pejuang Hizbullah sedia menghentikan kempen serangan balas.

Pemimpin Republikan itu kemudiannya mendakwa proses rundingan damai bersama Teheran menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa kali tertangguh.

Kenyataan tergesa-gesa itu dibuat selepas agensi berita Iran melaporkan Teheran telah menggantung sesi dialog dengan perantara proses damai itu sebagai simbol protes terhadap kempen pencerobohan agresif Israel ke atas proksi mereka, Hizbullah di Lubnan.

Israel terus gempur selatan Lubnan

Impak serangan IDF berhampiran sebuah hospital di bandar Tyre, selatan Lubnan pada Isnin.

Sejak akhir minggu lalu, ribuan penduduk di kawasan selatan sekali lagi dipaksa berpindah setelah unit infantri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mara ke wilayah tersebut.

Ketegangan meningkat semula setelah Netanyahu mengarahkan askar Zionis melancarkan kempen pencerobohan melalui darat di Beirut pada akhir minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas IDF memaksa komuniti di Sungai Zahrani supaya meninggalkan kediaman masing-masing dan menuju ke utara.

Media tempatan melaporkan siri serangan ganas dilancarkan Israel yang turut meragut sejumlah nyawa di bandar al-Abbasieh berhampiran Tyre.

Operasi ketenteraan yang diperhebatkan itu menyaksikan seluruh bahagian selatan Lubnan kini menjadi zon tempur tanpa satu pun kawasan yang terselamat daripada hujan peluru dan kemusnahan angkara tentera Zionis.

Konflik yang kian memuncak itu turut mengundang gelombang kecaman negara antarabangsa termasuk negara-negara Arab dan blok Eropah yang menyifatkan ia sebagai pencabulan serius terhadap kedaulatan Beirut.

No Image Caption

Rejim Tel Aviv kembali menggunakan taktik serupa seperti di Genting Gaza dengan menjadikan operasi terhadap pejuang Hizbullah sebagai alasan untuk memperluaskan kawalan ketenteraan ke atas wilayah Lubnan sebagaimana yang dilakukan terhadap gerakan Hamas.

Lebih sejuta penduduk telah diusir dan hilang tempat tinggal sejak konflik baharu Israel-Hizbullah tercetus pada awal Mac lalu.

Menurut data terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan, lebih 3,412 orang terkorban manakala kira-kira 10,269 yang lain cedera.

Di bawah tindakan pelanggaran perjanjian gencatan senjata, askar Zionis didakwa telah menyeberangi Sungai Litani buat pertama kali sejak peperangan pada 2006.

IDF turut menawan Istana Beaufort yang terletak di atas bukit strategik berhampiran Nabatieh, bandar kelima terbesar di Lubnan.

Zionis pernah menawan kubu abad ke-12 itu pada 1982 dan mengekalkan kawalan ke atasnya sehingga ia berundur dari Beirut, kira-kira 18 tahun kemudian. – Agensi

Scroll to Top