PETALING JAYA: Pelakon, Ozlynn Waty mengakui kehidupannya kini lebih tenang selepas tampil berhijab.
Menurut Ozlynn atau Rozlinawaty Ismail, dia menyifatkan kehidupannya sebelum bertudung sebelum ini ibarat pengalaman termiskin dalam hidupnya, malah segan apabila terimbau cara pemakaiannya suatu ketika dahulu.
“Miskin saya dulu sampai pakai baju tidak cukup kain. Sekarang alhamdulillah sudah senang, kepala pun sudah ada kain penutup (tudung),” katanya di Threads.
Enggan dirinya terpesong kembali, isteri kepada pelawak, Johan itu mengakui dirinya sedang belajar untuk istiqamah dalam menjaga cara pemakaiannya.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon filem Libang-Libu itu turut memohon doa orang ramai agar hatinya terus berpegang dengan niatnya untuk menjadi seorang individu yang lebih baik.
“Pedih, tapi itu kenyataan. Dulu miskin ilmu akhirat, sekarang Insya-Allah perlahan-lahan kayuh (usaha) nak jadi kaya akhirat. Doakan aku ya,” kongsinya.
Ozlynn berkata demikian ketika membalas perkongsian seorang individu yang meminta orang ramai berkongsi pengalaman termiskin dalam hidup.
Terdahulu, penampilan anggun Ozlynn mengenakan tudung mencuri perhatian ramai selepas dirinya menunaikan ibadah haji pada 2024.
Susulan itu, pelakon tersebut dirinya mengakui dirinya sudah bertudung sepenuhnya dan sedang menikmati fasa penghijrahan.




