Mapim hantar memorandum kepada PM, gesa tubuh Majlis Tindakan Khas Nasional

Mapim hantar memorandum kepada PM, gesa tubuh Majlis Tindakan Khas Nasional

SUNGAI PETANI – Satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menuntut penubuhan Majlis Tindakan Khas Nasional menangani isu sosial yang tidak berkesudahan.

Pesiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, memorandum yang turut mendapat sokongan kira-kira 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga akan dihantar kepada kementerian berkaitan.

Menurutnya, Malaysia sedang berhadapan krisis sosial yang semakin membimbangkan bukan sahaja membabitkan penyalahgunaan dadah, kes juvana dan ponteng sekolah, kini muncul ancaman baharu seperti penggunaan vape dicampur bahan terlarang, pil khayal sintetik, lumba haram, perjudian dalam talian, ketagihan media sosial, pornografi digital serta budaya ganas dalam kalangan remaja.

“Penggunaan vape jenis ‘magic mushroom’ dikatakan boleh menimbulkan kecelaruan, halusinasi bahkan kematian di mana cecair dicampur dadah sintetik berisiko menjejaskan fungsi otak serta kesihatan tubuh badan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Mapim di sini pada Selasa.

Menurut Mohd Azmi, mereka turut menuntut penguatkuasaan lebih tegas pihak berkuasa memandangkan tindakan sedia ada dilihat belum mencukupi menyebabkan keruntuhan sosial terus berlaku.

Mohd Azmi

Mohd Azmi

Beliau berkata, Mapim turut menggesa kerajaan melaksanakan audit nasional terhadap program belia bagi menilai semula keberkesanan perbelanjaan dan program dilaksanakan kementerian serta agensi berkaitan.

“Kami juga meminta kerajaan mengekalkan peruntukan bagi pembangunan belia dan remaja serta menyediakan dana kepada NGO yang sentiasa melaksanakan program menangani gejala sosial,” katanya.

Jelasnya, memorandum itu turut merangkumi intipati menekankan keperluan memperkasakan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan belia di peringkat akar umbi, selain melaksanakan program intervensi awal bagi menangani masalah institusi kekeluargaan yang dilihat mempunyai kaitan langsung dengan gejala sosial remaja.

“Dalam masa sama, kami turut mencadangkan agar kawalan lebih berkesan terhadap kandungan digital yang dilihat menjadi faktor menyumbang kepada masalah sosial apabila tidak dipantau sewajarnya,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru seluruh rakyat Malaysia melihat isu ini sebagai tanggungjawab bersama demi menyelamatkan generasi muda daripada keruntuhan moral, ketagihan, jenayah dan budaya yang merosakkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Artikel Disyorkan

Scroll to Top