Kerajaan negeri arah JAS siasat pencemaran kumbahan di Pulau Perhentian

Kerajaan negeri arah JAS siasat pencemaran kumbahan di Pulau Perhentian

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah melakukan siasatan secara menyeluruh pencemaran air laut berpunca daripada sistem kumbahan di Pulau Perhentian, Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sistem kumbahan daripada sebuah chalet itu dikesan mengalami kebocoran oleh beberapa pelancong yang melakukan aktiviti penyelaman di kawasan itu pada Ahad lalu.

Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum dan meminta JAS melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengelakkan berlaku pencemaran air di pantai berkenaan.

“Saya sendiri menghubungi pengusaha chalet itu dan dia mengaku berlaku kerosakan dan sedang dalam proses membaik pulih sistem kumbahan saluran sehingga menyebabkan berlaku pencemaran air di pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razali berkata, video dan gambar dirakamkan penyelam itu dimuat naik melalui laman sosial dan ditularkan.

Katanya, JAS sudah diarahkan melakukan siasatan secara terperinci bagi menentukan berlaku pelanggaran peraturan alam sekitar atau tidak.

“Jika didapati melanggar peraturan alam sekitar, JAS diminta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Razali berkata, Pulau Perhentian dan Pulau Redang dan beberapa pulau di negeri ini menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, pulau pelancongan dijadikan sebagai punca mata pencarian rakyat terutama yang terbabit dalam sektor pelancongan.

“Kerajaan mendapati antara 70 hingga 80 peratus pelancong ke Terengganu akan melancong ke pulau.

“Tindakan perlu dikenakan ke atas pengusaha chalet jika berlaku pelanggaran alam sekitar kerana ia memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan,” katanya.

Ketika mengulas mengenai caj tandas mahal di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang, Razali berkata, pengusaha tandas itu bersetuju menurunkan harga daripada RM5 kepada RM3.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top