Chean Chung Ahli Parlimen kedua hilang akses peruntukan kawasan

Chean Chung Ahli Parlimen kedua hilang akses peruntukan kawasan

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa pejabatnya tidak lagi dapat mengakses sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu, sekali gus menyebabkan urusan berkaitan peruntukan kawasan dan Projek Mesra Rakyat (PMR) tidak dapat diteruskan seperti biasa.

Beliau berkata, tindakan tersebut menimbulkan persoalan kerana tiada sebarang penjelasan rasmi diberikan sebelum akses tersebut disekat.

“Setakat pengetahuan saya, ini mungkin kali pertama dalam sejarah negara apabila dua Ahli Parlimen kerajaan secara berturut-turut tidak lagi mempunyai akses kepada saluran peruntukan kawasan.

“Secara peribadi, saya menerima keadaan ini dengan tenang. Namun saya ingin mengemukakan satu persoalan yang amat mudah, apakah sebenarnya kesalahan yang telah saya lakukan?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menuntut penjelasan rasmi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas akses akaun Portal MyKhas milik pejabatnya didakwa disekat tanpa sebarang notis.

Menurutnya, sekatan itu menjejaskan urusan pejabatnya untuk memuat naik, mengurus dan memproses permohonan PMR serta permohonan lain berkaitan peruntukan kawasan bagi rakyat Subang.

Dalam pada itu Chen Chung menegaskan, beliau tidak pernah mengumumkan keluar daripada blok kerajaan atau mengundi menentang kerajaan di Parlimen.

Namun ujarnya, jika sekatan itu ada kaitan dengan kehadirannya pada majlis pelancaran sebuah parti baharu yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu, pimpinan parti seharusnya memberikan penjelasan secara terbuka.

“Jika tindakan saya dianggap melanggar disiplin parti, tidak setia kepada parti atau menjejaskan kepentingan parti, maka proses sewajarnya perlu dilaksanakan.

“Surat amaran boleh dikeluarkan, surat tunjuk sebab boleh diminta, malah siasatan disiplin juga boleh dijalankan mengikut saluran yang ditetapkan,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan komitmen kerajaan terhadap janji Pakatan Harapan (PH) berkaitan pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Menurutnya, rakyat berhak mempersoalkan sama ada wujud amalan dua darjat dalam pengagihan peruntukan kawasan sekiranya seorang Ahli Parlimen kerajaan boleh kehilangan akses kepada saluran peruntukan atas faktor politik yang tidak dijelaskan.

“Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa seorang Ahli Parlimen kerajaan tiba-tiba kehilangan akses kepada saluran peruntukan yang selama ini digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Peruntukan kawasan bukanlah manfaat untuk Ahli Parlimen. Ia merupakan sumber penting bagi membantu komuniti setempat, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan memerlukan serta memastikan pusat khidmat rakyat dapat beroperasi dengan berkesan.

“Apabila peruntukan disekat, pihak yang paling terkesan bukanlah wakil rakyat, tetapi rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Scroll to Top