Zverev enggan layan status pilihan utama di Roland Garros

Zverev enggan layan status pilihan utama di Roland Garros

PARIS: Pemain no. 3 dunia, Alexander Zverev menegaskan dia tidak mahu memikirkan status sebagai calon pilihan untuk merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya, sebaliknya kekal fokus menghadapi aksi separuh akhir Terbuka Perancis.

Pemain pilihan kedua itu meneruskan kemaraan cemerlang apabila menewaskan pemain muda Sepanyol, Rafael Jodar 7-6 (7/3), 6-1, 6-3 pada suku akhir, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir Roland Garros buat kali kelima dalam tempoh enam tahun.

Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan Zverev sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi Coupe des Mousquetaires selepas penyingkiran mengejut pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner dan juara 24 Grand Slam, Novak Djokovic lebih awal dalam kejohanan.

Bagaimanapun, Zverev yang pernah tiga kali muncul naib juara Grand Slam enggan terlalu memikirkan peluang tersebut.

“Saya tidak begitu peduli mengenai status sebagai pilihan utama. Fokus saya hanya kepada perlawanan seterusnya dan lawan yang berada di seberang gelanggang. Itu sahaja yang boleh saya kawal,” katanya.

Pemain berusia 29 tahun itu bakal berdepan pemain Republik Czech, Jakub Mensik dalam aksi separuh akhir.

Mengulas mengenai perjalanan kejohanan, Zverev mengakui penyingkiran Djokovic sedikit sebanyak membuka laluan ke final di bahagian bawah undian.

“Di bahagian atas undian, keadaan berubah dengan ketara selepas Sinner tersingkir. Di bahagian bawah pula, tidak banyak perubahan kecuali kemenangan Fonseca ke atas Djokovic yang sememangnya memberi kesan besar,” katanya. – AFP

Scroll to Top