Dari 15 biji ubat, saya hanya makan dua biji sahaja sekarang – Andi Bernadee

Dari 15 biji ubat, saya hanya makan dua biji sahaja sekarang – Andi Bernadee

PETALING JAYA: Tampil berimej lebih segar dan sihat, penyanyi, Andi Bernadee meluahkan rasa bersyukur selepas doktor mengesahkan penyakit auto imun hipertiroid yang dihadapnya semakin membaik.

Menurut Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile, 35, sebelum ini dia terpaksa bergantung dengan 15 biji ubat sehari bagi mengawal masalah kesihatannya yang berpunca daripada hormon yang berlebihan

“Saya didiagnos mempunyai penyakit auto imun hipertiroid pada Disember tahun lalu. Penyakit ini melibatkan hormon yang berlebihan dalam badan.

“Penyakit ini sebenarnya terkenal dalam golongan wanita. Saya difahamkan jika golongan lelaki yang menghidap penyakit ini akan mengambil masa yang lama untuk sembuh.

“Alhamdulillah, selepas menjalani pemeriksaan susulan di hospital semalam, doktor mengesahkan keadaan saya semakin membaik. Bacaan tiroid juga sudah berkurangan.

“Jika sebelum ini saya bergantung dengan 15 biji ubat, semalam doktor sudah kurangkannya kepada dua biji sahaja untuk saya makan setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Andi berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pradengar album sulungnya yang berjudul Ding Geding, di sini, semalam.

Berkongsi mengenai kondisinya ketika menanggung keperitan penyakit tersebut, Andi bagaimanapun tidak menafikan keadaan kesihatan itu pendorong berat badannya menurun secara mendadak.

“Ketika saya sakit sebelum ini, berat saya 46 kilogram (kg). Sekarang saya berjaya mencapai 67kg selepas pergi ke gim.

“Sebenarnya saya sudah hidup dengan penyakit ini lebih setahun, cuma saya menafikan dan tetap teruskan kerja seperti biasa pergi ke set dan menyanyi.

“Sehinggalah ketika membuat persembahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tangan saya jadi menggeletar dan saya berpeluh apabila berdepan dengan peminat. Dari situ saya nekad untuk dapatkan rawatan.

“Saya alami gigi bernanah sampai tiga bulan tak berhenti sehingga terpaksa dicabut. Berdiri pun semput, bawa kereta pula tidak boleh tekan pedal minyak sebab badan menggigil. Kaki saya kejang setiap kali tidur,” jelasnya.

Pernah tampil dengan penampilan ‘berselubung’ sebelum ini, Andi menjelaskan dia enggan mengelirukan orang ramai dengan perubahan fizikalnya ketika proses mempromosikan album sedang berjalan.

“Saya ada keluar rumah, tapi tak adalah berselubung sangat. Kalau keluar pun saya pakai topi dan pelitup muka, mungkin sebab itu ramai tak perasan. Dalam bidang ini memang perlukan perhatian, tapi waktu itu teaser video sedang berjalan.

“Namun, itu bukanlah gimik. Saya tidak mahu orang keliru dengan penampilan saya. Saya tidak mahu menimbulkan spekulasi orang ramai. Jadi saya elakkan benda itu,” ujarnya.

Scroll to Top