Lelaki baling batu ke arah kenderaan dipenjara 26 bulan

Lelaki baling batu ke arah kenderaan dipenjara 26 bulan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki yang membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Setia Puspa dekat Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Bukit Damansara, di sini sehingga menyebabkan kerosakan lebih RM20,000 dihukum penjara 26 bulan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, hukuman itu diputuskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mendapati Lee Fook Seng, 56, bersalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Katanya, pihaknya menerima enam laporan berkaitan kejadian itu yang mengakibatkan kerugian melebihi RM20,000 dan seorang mangsa cedera.

“Seorang mangsa cedera pada tangan dan badan akibat terkena serpihan cermin hadapan yang pecah serta batu yang dibaling individu berkenaan.

“Mangsa yang cedera sudah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan keadaannya dilaporkan stabil. Mangsa-mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Jumlah kerugian yang dialami oleh semua mangsa dianggarkan melebihi RM20,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo berkata, tangkapan ke atas suspek sebelum ini membawa kepada rampasan beg pinggang miliknya yang mengandungi sejumlah batu serta sebilah gunting yang sudah diubah suai, dipercayai digunakan sebagai senjata berbahaya.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan satu rekod kesalahan dadah,” katanya.

Menurutnya, polis membuka enam kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, semua kertas siasatan itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kuala Lumpur yang membawa kepada pertuduhan di mahkamah hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top