
Menurut analisis Reuters, prestasi England dalam kejohanan itu dijangka banyak bergantung kepada ketajaman Kane yang kekal menjadi tonggak utama pasukan tersebut. – Agensi
ENGLAND terus berada dalam kelompok pilihan utama untuk menjulang trofi Piala Dunia FIFA 2026 berdasarkan ramalan terbaharu superkomputer Opta menjelang sepak mula kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico minggu depan.
Menerusi 10,000 simulasi yang dijalankan, Opta meletakkan Sepanyol sebagai pasukan paling berpotensi muncul juara dunia, manakala Perancis dan England melengkapkan senarai tiga pencabar utama.
Walaupun bukan pilihan nombor satu, skuad kendalian Thomas Tuchel dilihat memiliki peluang cerah untuk menamatkan penantian 60 tahun menjulang trofi paling berprestij bola sepak dunia.
Kekuatan England terletak pada gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda yang semakin matang, termasuk kapten Harry Kane, Jude Bellingham dan Bukayo Saka.
Menurut analisis Reuters, prestasi England dalam kejohanan itu dijangka banyak bergantung kepada ketajaman Kane yang kekal menjadi tonggak utama pasukan selepas sekali lagi mempamerkan musim cemerlang bersama kelabnya.
England bakal memulakan kempen dalam Kumpulan L bersama Croatia, Ghana dan Panama dengan ramai pemerhati menjangkakan mereka mampu mara jauh sekiranya berjaya mengekalkan konsistensi prestasi.
Selain England, juara Eropah, Sepanyol dan naib juara dunia, Perancis turut dianggap calon terkuat untuk menjuarai edisi terbesar Piala Dunia yang menampilkan 48 pasukan buat pertama kali.
Juara bertahan, Argentina juga masih berada dalam kelompok pencabar utama, namun kebanyakan model ramalan meletakkan mereka sedikit di belakang Sepanyol, Perancis dan England.
Piala Dunia 2026 akan berlangsung dari 12 Jun hingga 20 Julai dan dijangka menjadi edisi paling besar dalam sejarah dengan 104 perlawanan melibatkan 48 negara. – end
KEPSYEN: Barisan pemain yang bakal mengemudi jentera tengah pasukan England di Piala Dunia 2026. – FOTO: England FA



