Ketua Umno Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat serta portal rasmi PAS, Harakahdaily.
Sedang meneliti & dapatkan nasihat perundangan
Menerusi kenyataan daripada Azhar, beliau sedang meneliti perkara itu susulan hantaran akaun TikTok @nikalifaiman.ariffahmi dan artikel Harakahdaily yang disiarkan pada 1 Jun 2026, selain laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung dakwaan menampar Nik Alif.
“Saya sedang meneliti dan mendapatkan nasihat perundangan berhubung perkara tersebut bagi menentukan kesahihan fakta serta implikasi undang-undang yang berkaitan.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan saluran undang-undang yang diperuntukkan sekiranya terdapat asas yang kukuh dan bukti yang mencukupi bahawa mana-mana pihak telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, tidak terhad kepada fitnah, penyebaran maklumat palsu, atau tindakan yang menjejaskan reputasi dan kepentingan saya,” katanya.

Anggap macam anak
Terdahulu, Azhar menafikan dakwaan bahawa dia bertindak menampar Nik Alif seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya, dakwaan kejadian yang didakwa berlaku semasa program anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu merupakan fitnah jahat terhadap dirinya dan dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk bertindak sedemikian.
“Anak ini sangat mesra dengan saya. Apa sebab saya nak tampar dia? Puluhan saksi ada dalam dewan itu, saya sangat mesra, sayang (dia) seperti anak sendiri.
“(Kejadian tersebut) Fitnah jahat terhadap saya,” katanya.

Sebelum ini, Nik Alif, 23, mendakwa dia ditampar oleh Azhar yang juga bekas senator kira-kira jam 6 petang pada 20 Mei lalu di Institut Latihan Memperkasa Ummah, Janda Baik, Bentong, Pahang.
Menurut Nik Alif, kejadian berlaku selepas sesi bergambar di akhir program apabila dia menegur Azhar sebagai tanda hormat dan memperkenalkan diri sebagai cucu Nik Abdul Aziz.
Sumber: Facebook Azhar Ahmad




