anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sengaja cari bala apabila seorang lelaki tempatan diberkas pihak berkuasa selepas dikesan membela seekor Binturong yang ditangkap secara haram di hutan.
Lelaki berusia 50-an itu diambil tindakan apabila kediaman di Shah Alam, Selangor, diserbu penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah PERHILITAN, DatUK Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek lelaki tempatan itu ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilakukan pihaknya bersama Wildlife Crime Bureau (WCB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 1.19 tengah hari semalam.
Menurutnya, Binturong adalah spesies mamalia unik yang digelar beruang kucing kerana memiliki rupa gabungan beruang dan kucing.
“Haiwan ini semakin jarang ditemui di habitat semula jadi akibat ancaman kehilangan habitat dan aktiviti pemburuan haram,” katanya.
Menurutnya, Binturong yang dirampas di rumah lelaki itu didapati disimpan tanpa permit khas yang sah.
“Turut disita sebuah sangkar yang dipercayai digunakan untuk menempatkan haiwan berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,000.
“Lelaki itu ditahan dan kes disiasat mengikut peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Kadir memaklumkan, Binturong atau nama saintifik Arctictis binturong adalah spesies penting dalam ekosistem hutan.
“Ia hidup di kawasan hutan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia. Haiwan yang aktif pada waktu malam itu terkenal dengan ekornya yang panjang dan kuat sehingga mampu berpaut pada dahan pokok ketika bergerak di kawasan kanopi hutan.
“Binturong juga sering dikenali sebagai beruang kucing walaupun tidak mempunyai pertalian rapat dengan kedua-dua spesies itu,” katanya.
Keunikan haiwan ini ialah baunya yang seakan-akan daun pandan atau bertih jagung panas, berpunca daripada bahan kimia semula jadi yang dirembeskan melalui kelenjar khas pada badannya.
Di habitat liar, binturong memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan kerana membantu menyebarkan benih pelbagai spesies pokok melalui najisnya selepas memakan buah-buahan.
PERHILITAN menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang memiliki atau menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa permit sah bagi memastikan khazanah biodiversiti negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




