Silver economy, peluang baharu dalam era negara menua

Silver economy, peluang baharu dalam era negara menua

MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 16 peratus penduduk dunia dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030 dan di beberapa rantau di Asia, peratusan itu telah pun melepasi tahap dinyatakan.

Statistik ini mencerminkan perubahan besar dalam struktur demografi global apabila kumpulan pengguna di seluruh dunia semakin didominasi golongan yang lebih berusia.

Dari sudut ekonomi, peningkatan populasi warga emas tidak semestinya perlu dilihat sebagai beban. Sebaliknya, ia berpotensi menjadi pemangkin kepada perkembangan silver economy.

Silver economy merujuk kepada keseluruhan aktiviti ekonomi yang terhasil daripada permintaan pasaran, perbelanjaan penggunaan dan kuasa beli golongan warga emas.

Aktiviti ini mendorong pengeluaran serta penyediaan pelbagai produk dan perkhidmatan yang menyokong kesejahteraan, kesihatan dan kehidupan mereka dalam konteks penuaan penduduk.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Dr Nur Zahidah Bahrudin berkata, konsep silver economy amat penting bagi negara yang sedang mengalami penuaan penduduk seperti Malaysia.

“Peningkatan kelompok ini boleh menggalakkan peningkatan kuasa beli dalam kalangan warga emas serta berpotensi menyumbang kepada ekonomi sebagai pekerja, pengguna dan pelabur dalam jangka masa panjang.

“Silver economy juga merupakan segmen pasaran yang merentasi pelbagai sektor ekonomi,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Tambah Nur Zahidah, daripada perspektif pasaran buruh, golongan warga emas tidak semestinya dianggap tidak produktif.

“Dengan dasar yang menyokong ‘active ageing’ seperti pekerjaan fleksibel, latihan semula dan penyesuaian tempat kerja, mereka boleh terus menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, terdapat beberapa sektor yang berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan populasi warga emas di negara ini, khususnya sektor yang mampu menyesuaikan produk, perkhidmatan dan model perniagaan mengikut keperluan golongan tersebut.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dikeluarkan pada 26 April 2026 menunjukkan prevalens penyakit kronik yang tinggi dalam kalangan warga emas. Sebanyak 39 peratus menghidap diabetes, 73 peratus mengalami tekanan darah tinggi dan 76 peratus mempunyai paras kolesterol tinggi.

Berdasarkan dapatan tersebut, antara sektor yang dijangka menerima lonjakan permintaan ialah penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang.

“Kita lihat perkembangan perniagaan dalam bidang perkhidmatan hospital, klinik pakar geriatrik, pusat rehabilitasi serta penjagaan di rumah, penjagaan harian, penghantaran makanan sihat ke rumah-rumah, pengangkutan khas serta aktiviti rekreasi atau wellness untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.

“Industri farmaseutikal dan peralatan perubatan juga akan mendapat manfaat,” katanya.

Selain sektor kesihatan, teknologi kesihatan dan digital turut mempunyai prospek cerah. Penuaan penduduk mendorong inovasi dalam teknologi seperti pemantauan kesihatan jarak jauh, aplikasi pengurusan penyakit kronik, wearable devices serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam diagnosis.

Perkembangan ini membuka ruang kepada syarikat pemula niaga dan syarikat teknologi tempatan untuk membangunkan penyelesaian khusus bagi memenuhi keperluan warga emas.

Sektor perkhidmatan kewangan serta takaful dan insurans juga berpotensi berkembang melalui peningkatan permintaan terhadap produk persaraan, perlindungan kesihatan dan pengurusan kewangan.

Industri takaful khususnya mempunyai kelebihan dalam menawarkan produk patuh Syariah yang sesuai dengan profil risiko warga emas di Malaysia.

Pada masa sama, perkhidmatan nasihat kewangan selepas persaraan dijangka semakin mendapat perhatian bagi membantu warga emas mengurus kewangan dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Bagi warga emas yang masih sihat dan aktif, mereka boleh dikategorikan sebagai necessity-driven entrepreneurs dan experience-based entrepreneurs, iaitu individu yang masih bekerja atau berniaga bagi menampung keperluan hidup sekiranya pendapatan selepas persaraan tidak mencukupi.

Golongan aktif

Perkara ini dapat dilihat melalui penyertaan warga emas dalam sektor tidak formal dan keusahawanan kecil.

Malah, ramai yang masih aktif dalam sektor pertanian. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 50 peratus petani di negara ini terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas berikutan kurangnya minat generasi muda terhadap sektor tersebut.

Di peringkat antarabangsa, Jepun sering dianggap sebagai peneraju global dalam pembangunan silver economy kerana merupakan antara negara terawal berdepan cabaran penuaan penduduk.

Laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) menyatakan Jepun telah melaksanakan pelbagai dasar bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja warga emas, memanfaatkan teknologi dan inovasi serta membangunkan industri penjagaan jangka panjang bagi menyokong masyarakat yang semakin menua.

Kejayaan negara itu dapat dilihat menerusi kadar penyertaan tenaga kerja warga emas yang tinggi, penggunaan robotik dan teknologi dalam penjagaan warga emas serta pembangunan industri penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang yang bernilai berbilion dolar.

Singapura pula sering dijadikan contoh dalam kalangan negara ASEAN kerana pendekatan proaktifnya dalam menghadapi penuaan penduduk.

Kerajaan republik itu melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan umur persaraan, pusat penuaan aktif dan insentif pekerjaan bagi golongan senior.

Selain menggalakkan warga emas terus bekerja, Singapura turut memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan infrastruktur mesra warga emas serta usaha mengurangkan pengasingan sosial dalam kalangan golongan tersebut.

China pula secara rasmi melancarkan pelan pembangunan silver economy pada tahun 2024 bagi memenuhi keperluan populasi yang semakin menua.

Nilai silver economy negara itu dianggarkan sekitar tujuh trilion yuan dan berpotensi berkembang kepada 30 trilion yuan menjelang 2035.

Fokus utama pembangunan tersebut merangkumi penjagaan kesihatan pintar, perkhidmatan penjagaan warga emas, pelancongan warga emas serta pembangunan produk dan teknologi khusus untuk golongan senior.

Walaupun silver economy membuka pelbagai peluang ekonomi, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan potensinya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Antaranya ialah isu kesihatan dan produktiviti ekonomi. Kadar penyakit tidak berjangkit yang tinggi seperti diabetes dan hipertensi dalam kalangan warga emas berpotensi mengehadkan produktiviti serta daya saing mereka dalam pasaran.

Cabaran seterusnya ialah jurang digital dan penerimaan teknologi. Walaupun transformasi digital menjadi pemacu utama silver economy, masih terdapat digital divide dalam kalangan warga emas.

Literasi digital yang rendah, akses teknologi yang terhad serta kebimbangan terhadap penggunaan teknologi baharu boleh menghalang penglibatan mereka dalam ekonomi digital.

Selain itu, ketidaksamaan sosioekonomi dalam kalangan warga emas juga perlu diberi perhatian. Manfaat silver economy tidak semestinya dinikmati secara sama rata disebabkan faktor seperti lokasi bandar dan luar bandar, perbezaan tahap pendapatan dan simpanan serta ketidakseimbangan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Menurut Nur Zahidah, usaha menggalakkan pelaburan dan inovasi dalam silver economy memerlukan pendekatan dasar yang menyeluruh, berasaskan insentif dan berpaksikan bukti.

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah pemberian insentif fiskal dan galakan pelaburan kepada syarikat yang melabur dalam penjagaan kesihatan warga emas, perumahan, kebajikan serta teknologi kesihatan.

“Boleh juga diberikan galakan pelaburan melalui dana pelaburan khusus (Silver Economy Fund) yang menyokong usaha niaga modal dalam AgeTech, fintech persaraan, dan perkhidmatan penjagaan.

“Geran padanan juga boleh diberikan kepada startup dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam silver economy melalui agensi berkaitan,” katanya.

Selain itu, insentif keusahawanan warga emas seperti skim pembiayaan mikro yang lebih fleksibel, program inkubator khas dan latihan digital serta pemasaran e-dagang juga boleh diperluaskan.

Malaysia sedang bergerak ke arah status negara menua dan perubahan demografi ini tidak boleh dielakkan.

Namun, jika dirancang dengan baik, peningkatan populasi warga emas bukan sahaja mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu, malah merangsang inovasi, pelaburan dan pertumbuhan sektor strategik.

 

Mesti Baca

Artikel Disyorkan

Scroll to Top