Agong zahir pandangan, nasihat hala tuju pembangunan Kuala Lumpur

Agong zahir pandangan, nasihat hala tuju pembangunan Kuala Lumpur

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan pandangan serta nasihat yang konstruktif berhubung hala tuju pembangunan Kuala Lumpur dengan memberi penekanan kepada aspek tadbir urus, penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan serta perkhidmatan yang cekap dalam memastikan pembangunan ibu negara berjalan secara mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut hantaran tersebut, baginda turut mengingatkan supaya usaha berterusan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup warga kota.

“Antaranya dengan menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang cekap dan usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup warga kota,” menurut hantaran itu pada Khamis.

Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sultan Ibrahim juga sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan yang seimbang agar setiap dasar dan perancangan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat secara menyeluruh.

“Sultan Ibrahim sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan yang seimbang agar setiap perancangan dan pelaksanaan dasar memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat,” menurut hantaran itu lagi.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, baginda turut berkenan menerima taklimat mengenai Reformasi Kuala Lumpur yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan bandar.

“Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Reformasi Kuala Lumpur oleh YB Hannah Yeoh yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keselamatan dan perancangan bandar,” menurut hantaran berkenaan.

Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Turut hadir dalam sesi menghadap itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Scroll to Top