PBAKL 2026: Kids Karangkraf tampilkan ‘Apa Itu’ dan ‘Hantu Sekolah’ tarik pembaca muda

PBAKL 2026: Kids Karangkraf tampilkan ‘Apa Itu’ dan ‘Hantu Sekolah’ tarik pembaca muda

KUALA LUMPUR – Kids Karangkraf menampilkan lebih 25 judul baharu untuk peminat buku kanak-kanak dan remaja sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Editor Kids Karangkraf, Siti Aisyah Hussain berkata, antara siri terbaharu yang diketengahkan termasuk buku bergambar kanak-kanak siri ‘Apa Itu?’ dan novel praremaja siri ‘Hantu Sekolah’.

Menurutnya, siri-siri terbaharu itu diterbitkan bagi memenuhi cita rasa pembaca muda yang semakin pelbagai, di samping menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Misalnya, buku bergambar kanak-kanak siri ‘Apa Itu?’ memperkenalkan pelbagai konsep dan pengetahuan asas dalam bentuk yang mudah difahami serta menarik pembaca cilik yang berusia antara empat hingga tujuh tahun.

“Apa yang menarik lagi, pembeli yang mendapatkan pakej tiga buku siri ‘Apa Itu?’ akan menerima buku mewarna eksklusif yang hanya ditawarkan sempena pesta buku berkenaan.

“Manakala siri ‘Hantu Sekolah’ pula menyajikan elemen misteri dan seram ringan yang sesuai untuk pembaca praremaja. Jalan ceritanya bukan sahaja berunsur seram tetapi memberi pengajaran. Saya percaya pembaca muda akan kekal fokus dan tidak mudah bosan ketika membacanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung sehingga 7 Jun 2026 (Ahad).

Orang ramai mengunjungi reruai Grup Buku Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

Orang ramai mengunjungi reruai Grup Buku Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

Sementara itu, dalam usaha menarik lebih ramai pembaca, Siti Aisyah memberitahu bahawa Grup Buku Karangkraf turut menyediakan pelbagai pakej dan diskaun eksklusif yang hanya boleh didapati sepanjang pesta buku berlangsung.

Jelasnya, antara tawaran yang disediakan ialah pelbagai pakej pembelian buku seperti tiga buah buku boleh dimiliki pada harga RM28 berbanding harga asal RM12 senaskhah, manakala enam buah buku pula ditawarkan pada harga RM55.

Selain itu, tawaran istimewa kombo Sirah Nabi yang mengandungi buku Cerita Sirah Nabi Muhammad SAW di Mekah dan Cerita Sirah Nabi Muhammad SAW di Madinah ditawarkan pada harga RM48 bagi dua naskhah.

“Kami turut menyediakan pakej buku RM10 serta beberapa promosi khas lain yang tidak ditawarkan di luar pesta buku,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Grup Buku Karangkraf turut merancang pelaksanaan program cabaran membaca berkonsepkan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) platform digital khas untuk kanak-kanak dan ibu bapa.

Menurut Siti Aisyah lagi, program yang dikenali sebagai Kids Book Club #LessScreenMoreBooks itu akan menggabungkan aktiviti fizikal dan dalam talian, termasuk cabaran membaca yang membolehkan setiap bacaan direkodkan dalam sistem.

“Penyertaan Kids Book Club terbuka kepada kanak-kanak Malaysia berumur empat hingga 12 tahun. Ada pelbagai aktiviti khas akan dianjurkan secara berterusan sepanjang tahun, bukan hanya ketika pesta buku berlangsung,” ulasnya.

Mesti Baca

Scroll to Top