Nad Zainal belum sedia kongsi jantina anak keempat

Nad Zainal belum sedia kongsi jantina anak keempat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Nad Zainal, 36, yang kini hamil lapan bulan belum bersedia berkongsi jantina bayi dalam kandungannya.

Nad atau nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia juga sudah melakukan imbasan untuk mengesan jantina cahaya mata keempat yang juga anak kedua dengan suaminya pelakon, Ungku Ismail Aziz, 40, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dan suami bersyukur bayi dalam kandungan sihat dan kami juga sudah mengetahui jantina bayi selepas buat imbasan.

“Tapi buat masa ini, kami belum sedia nak kongsi jantina bayi dalam kandungan sebab ada kes, selepas beritahu jantina, bayi yang dilahirkan jantina lain pula.

“Suami saya sendiri pun, masa dia lahir dulu, mak mentua ingat dapat anak perempuan tapi sebaliknya yang keluar anak lelaki,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, kata Nad, dia bukannya mahu membuat kejutan tetapi akan berkongsi jantina anak keempatnya itu pada masa kelahirannya yang dijangka pada bulan depan.

“Walaupun sudah buat imbasan, kami masih lagi berasa gementar untuk memastikan jantina bayi yang akan dilahirkan nanti.

“Sebab itu, kami juga buat persiapan beli barangan dan baju bayi warna yang neutral seperti putih dan coklat,” kata pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu.

Bagaimanapun, kata Nad, dia juga tidak kisah soal jantina bayi yang akan dilahirkan kerana yang penting sihat dan cukup sifatnya.

“Kami harapkan bayi yang keluar nanti sihat dan tidak ditahan di wad kerana banyak penyakit sekarang termasuk jaundis.

“Saya juga menjaga pemakanan seperti minum susu kambing dan sebagainya.

“Apapun, kalau boleh, kami mahu dapat anak perempuan untuk lengkapkan sepasang sebab sudah ada dua anak lelaki,” katanya.

Terdahulu, Nad berkahwin kali kedua dengan Ungku Ismail pada 23 Januari 2023 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Ungku Indra Puteh Al Majid, 3 tahun.

Nad juga dikurniakan dua anak iaitu Fahad Ibrahim, 10 dan Budi Kalsom berusia lima tahun menerusi perkahwinan terdahulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top