Syarikat, 3 pengarah didakwa 160 pertuduhan beli diesel lebih RM1.5 juta tanpa lesen borong

Syarikat, 3 pengarah didakwa 160 pertuduhan beli diesel lebih RM1.5 juta tanpa lesen borong

Kuantan: Sebuah syarikat pemborong hasil laut dan tiga pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 160 pertuduhan membeli diesel subsidi nelayan tanpa lesen borong sebanyak 946,234 liter bernilai lebih RM1.5 juta pada 2024.

Atong Fishing Sdn Bhd diwakili tiga pengarahnya iaitu Cheng Chor Tong, 73, dan dua anak lelaki Cheng Thee Yong, 49, serta Cheng Thee How, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Syarikat itu dan tiga pengarah terbabit, masing-masing didakwa atas 40 pertuduhan secara berasingan kerana berurusan membeli barang kawalan iaitu minyak diesel bernilai antara RM17,620.35 dan RM72,540.60 tanpa lesen borong.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Persatuan Nelayan Kawasan Rompin, Kuala Rompin dari 15 Jan hingga 17 Okt 2024.

Pertuduhan dilakukan mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Munirah Shamsudin bersama-sama Pegawai Pendakwa Nor Amri Mohamad Nawi manakala tiga OKS terlibat diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan tinggi atas alasan penyelewengan diesel bersubsidi nelayan merupakan isu berkepentingan awam dan diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Anasuha Atiqah yang mewakili kesemua OKS memohon agar mahkamah mengguna pakai jaminan sedia ada yang telah ditetapkan dalam kes terdahulu terhadap anak guamnya memandangkan kedua-dua kes adalah saling berkaitan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM45,000 bagi setiap seorang berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat KPDN Pahang setiap bulan, yang ditetapkan mahkamah sebelum ini, diguna pakai untuk kesemua pertuduhan baharu hari ini dan menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 13 Mei lepas, syarikat berkenaan bersama tiga pengarah sama didakwa di mahkamah atas 164 pertuduhan membeli diesel subsidi nelayan tanpa lesen dan menyimpan bahan api itu sebanyak dua juta liter, bernilai RM3.3 juta melebihi kuantiti dibenarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top