am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penekanan terhadap kemajuan teknologi dan penguasaan kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan usaha memperkukuh iman serta membina akhlak selaras konsep negara MADANI yang meletakkan nilai kemanusiaan sebagai teras pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata banyak negara kini sudah cenderung mengejar kemajuan dan menguasai AI, tetapi pembangunan sebenar tidak boleh mengetepikan nilai, etika dan pembentukan sahsiah.
“Penguasaan ilmu tidak boleh dipisahkan daripada keperluan memperkukuh keimanan dan memperbaiki akhlak kerana itu yang membezakan pendekatan negara MADANI daripada model pembangunan lain.
“Semua negara di dunia sekarang mengejar kemajuan, pembangunan dan menguasai AI. Saya sendiri hari ini menghadiri taklimat mengenai pengkomputeran kuantum (Quantum Computing) yang menjadi teknologi dan ilmu baharu.
“Tetapi apabila disebut negara MADANI, terasnya mesti nilai dan akhlak. Justeru menguasai ilmu tidak boleh lari daripada hakikat keperluan memupuk iman, menambah ilmu dan memperbaiki akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan ketika hadir Majlis Ilmu MADANI bersama Sheikh Muhammad Hydara Al-Jilani di Masjid Al-Sultan Abdullah, di sini, malam tadi.
Majlis Ilmu MADANI itu turut menampilkan lima ulama besar dunia lain iaitu pengasas dan pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dan pengasas dan presiden Darul Qasim College serta Al-Amin Ethics Institute di Chicago, Amerika Syarikat, Sheikh Mohammed Amin Kholwadia.
Turut hadir, pengasas serta pengarah Ihsan Institute yang beroperasi di United Kingdom dan Singapura, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Saad Al-Azhari, pengerusi dan sarjana tetap Sabeel Community, Sheikh Dr Walead Mohammed Mosaad serta Pengasas dan Presiden Institut Manuskrip Arab, Mauritania, Sheikh Abdullah Muhammad Bilal dari Mauritania.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Anwar berkata, Malaysia juga perlu menguasai teknologi dan inovasi baharu termasuk peralihan tenaga, hidrogen dan kenderaan elektrik (EV) supaya tidak ketinggalan dalam persaingan global.
“Kegagalan menguasai ilmu dan teknologi akan menyebabkan sesebuah negara terus mundur serta dipandang rendah oleh masyarakat dunia.
“Tamadun Islam tidak terbina semata-mata atas keyakinan, tetapi berasaskan ilmu dan keyakinan. Dengan penguasaan ilmu serta teknologi, kita mampu mempengaruhi rantau dan dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, cabaran utama umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama adalah untuk terus menuntut ilmu dan mengamalkannya dalam kehidupan.
“Justeru, ilmu tidak boleh sekadar disampaikan atau diperkatakan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan pengurusan yang baik.
“Sebab itu kita harus ingat tanggungjawab kita bukan hanya menimba ilmu, tetapi mengamalkannya dengan penuh kekuatan, integriti dan keikhlasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




