asmaini@mediaprima.com.my
KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kajian untuk memperkenalkan klausa Pilihan Untuk Membeli (OTP) di bawah cadangan Rang Undang-Undang Pemajuan Harta Tanah.
Ia bertujuan memberi fleksibiliti lebih besar kepada pembeli rumah dan pemaju untuk menarik diri sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA).
Langkah yang dicadangkan itu dilihat dapat membantu kedua-dua pihak mengurangkan komitmen kewangan dan perundangan yang tidak perlu pada peringkat awal.
Inisiatif itu sebahagian daripada agenda Reformasi Perumahan MADANI yang lebih menyeluruh, bertujuan memodenkan kerangka kawal selia perumahan Malaysia dan memastikan kemampanan industri untuk jangka panjang.
Menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), klausa OTP yang dicadangkan di bawah undang-undang perumahan baharu dilihat mampu memberikan perlindungan yang lebih baik kepada bakal pembeli rumah sebelum memuktamadkan sebarang pemilikan hartanah.
Presidennya, Datuk Ho Hon Sang berkata, mekanisme itu juga berpotensi menjadi penyelesaian praktikal kepada pelbagai isu yang dihadapi oleh bakal pembeli dan pemaju termasuk kebimbangan berkaitan projek perumahan terbengkalai.
Kata Ho, persatuan itu menyambut baik cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, untuk memasukkan mekanisme berkenaan dalam kerangka undang-undang baharu sektor perumahan.
“Meskipun mekanisme itu masih belum dimuktamadkan dan masih terdapat banyak ketidakpastian mengenai klausa itu, pada prinsipnya, mekanisme OTP memberi manfaat dalam melindungi bakal pembeli rumah yang berhasrat membeli unit kediaman tertentu.
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan pembelian sekiranya keadaan berubah,” katanya pada kenyataan.
Menerusi mekanisme yang dicadangkan itu, kedua-dua pembeli dan pemaju mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada transaksi sebelum SPA ditandatangani.
Klausa itu memberi fleksibiliti kepada pembeli untuk membatalkan pembelian sekiranya keadaan berubah atau mereka berubah fikiran mengenai hartanah terbabit.
Selain itu, pemaju juga diberi fleksibiliti untuk menarik diri daripada projek yang mungkin tidak lagi berdaya maju daripada segi komersial atau kewangan.
Kata Ho lagi, pemaju juga boleh menggunakan mekanisme OTP untuk menilai minat pasaran yang sebenar daripada bakal pembeli sebelum menandatangani komitmen mengikat dan sebelum pembinaan dimulakan.
“Kami berharap kerajaan, khususnya KPKT, akan terus membabitkan pemain industri, termasuk REHDA, bagi memuktamadkan butiran serta rangka kerja mekanisme OTP.
“Klausa itu mestilah jelas, praktikal dan adil dalam melindungi kepentingan pembeli dan pemaju.
“Pengenalan OTP juga berpotensi menyediakan penyelesaian praktikal kepada pelbagai isu yang dihadapi kedua-dua pihak, termasuk kebimbangan berkaitan projek perumahan terbengkalai,” katanya.
Sementara itu, Nga sebelum ini dilaporkan berkata, KPKT sedang mengkaji untuk memperkenalkan mekanisme OTP di bawah cadangan Rang Undang-Undang Pemajuan Harta Tanah.
Ia untuk membantu mengurangkan risiko projek perumahan sakit lewat dan terbengkalai di samping memberi fleksibiliti kepada pembeli rumah dan pemaju.
Menurut Nga, sejak Disember 2022, pasukan petugas khas kementerian itu berjaya memulihkan lebih 1,500 projek perumahan uzur dan terbengkalai di seluruh negara.
Ia membabitkan nilai pembangunan kasar melebihi RM140 bilion, sekali gus memberi harapan baharu kepada lebih 176,000 pembeli di seluruh negara.
Selain reformasi perundangan, Nga berkata, KPKT turut mempercepat inisiatif transformasi digital merentas ekosistem perumahan menerusi platform seperti e-SPA, TEDUH dan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).
Kementerian terbabit menyasarkan sifar projek sakit menjelang 2030 dan memerlukan usaha kolektif semua pihak dalam ekosistem termasuk pemain industri untuk mencapainya.
Sektor hartanah Malaysia mencatat prestasi kukuh pada 2025 dengan nilai transaksi melebihi RM240 bilion, iaitu paras tertinggi dalam tempoh sedekad, mencerminkan keyakinan pasaran yang mantap susulan kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang menggalakkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




