Ariel tidak tampil dalam konsert Peterpan kerana berehat panjang

Ariel tidak tampil dalam konsert Peterpan kerana berehat panjang

puterialia@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Di sebalik keterujaan Konsert ‘The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita’, bulan depan, timbul persoalan apabila nama bekas vokalis, Ariel yang cukup sinonim dengan kumpulan rock berkenaan tidak tersenarai.

Menjawab persoalan itu, wakil penganjur Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar berkata, Ariel kini sedang berehat panjang daripada sebarang komitmen berkumpulan termasuk bersama Noah.

Menurut Thata, tempoh rehat yang diambil oleh Ariel dijangka berlarutan untuk satu hingga dua tahun akan datang.

“Ariel kini sedang ‘hiatus’ (berehat panjang) buat masa ini. Mungkin dalam satu hingga dua tahun ke depan, malah kita sendiri tidak tahu sampai bila dia akan berehat.

“Dia kini tidak bersama Peterpan mahupun Noah kerana sedang bergerak secara solo. Selepas baru sahaja selesai dengan penggambaran filem, Ariel kini lebih banyak terlibat dengan projek kolaborasi bersama artis lain,” katanya.

Thata berkata dekimian ketika ditemui semasa Sidang Media Antarabangsa ‘The Journey Continues Peterpan – Semua Tentang Kita’ di Restoran Cili Kampung, Bandar Sunway, di sini, semalam.

Kongsi Thata, keputusan Ariel untuk berehat daripada komitmen berkumpulan sebenarnya membuka ruang dan peluang baharu buat rakan-rakan seperjuangannya yang lain untuk terus berkarya.

“Ariel sendiri mahu rakan-rakannya tetap berkarya. Sebab itu Peterpan kini bergerak sebagai sebuah band.

“Walaupun perjalanan Peterpan ini tetap melibatkan Ariel, apa yang pasti, ini adalah peluang untuk anak-anak muda mengenali Peterpan dengan lebih dekat,” katanya kepada Harian Metro.

Konsert ‘The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita’ yang bakal berlangsung pada 11 Julai depan di Idea Live Arena, di sini, turut membariskan ahli kumpulan asal seperti Reza, Loekman, Andika dan Indra.

Dalam pada itu, antara artis jemputan yang bakal menyertai konsert ini ialah Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna, Charly Van termasuk penyanyi terkenal Malaysia, Hael Husaini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top