Husna kekal rentak cemerlang pemain muda golf negara

Husna kekal rentak cemerlang pemain muda golf negara

Ipoh: Pemain Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan Malaysia (NJDP-MGA), Husna Karim meneruskan rentak cemerlang atlet muda negara apabila muncul juara Kejohanan Golf Junior RPGC-Taiwan Fructose ke-6 yang berlangsung di Royal Perak Golf Club.

Husna mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan dengan mencatatkan jumlah keseluruhan 2 bawah par menerusi pusingan 71, 73 dan 70, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai juara kategori wanita sekali gus membawa pulang RM3,000 berserta trofi kejuaraan.

Kemenangan itu satu lagi pencapaian membanggakan buat Kem NJDP-MGA yang terus menunjukkan perkembangan positif hasil program pembangunan dilaksanakan secara berterusan.

Husna antara pemain yang telah dipanggil menyertai Intensive Training Camp NJDP-MGA sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu dan kejayaannya membuktikan keberkesanan program pembangunan yang dijalankan.

Turut mencuri perhatian ialah seorang lagi bintang muda NJDP-MGA, Amelia Lee, yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan memberangsangkan 72, 74 dan 70 bagi melengkapkan pencapaian cemerlang pemain-pemain NJDP-MGA dalam kejohanan berprestij tersebut.

2026 dilihat sebagai tahun amat bermakna buat NJDP-MGA apabila semakin ramai pemain di bawah program itu mula memperlihatkan kematangan dari segi teknik, daya saing dan ketahanan mental dalam kejohanan-kejohanan utama di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Kejayaan Husna hadir hanya seminggu selepas pencapaian cemerlang pemain-pemain NJDP-MGA di Singapura, sekali gus meneruskan momentum positif program pembangunan golf junior negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top