Hadi sahkan ada pertemuan PAS-UMNO, sokong MN 2.0 dihidupkan semula

Hadi sahkan ada pertemuan PAS-UMNO, sokong MN 2.0 dihidupkan semula

am@hmetro.com.my

Marang: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan beliau ada dimaklumkan mengenai perjumpaan di antara pimpinan parti berkenaan dengan UMNO di ibu negara, semalam.

Ahli Parlimen Marang itu merujuk perjumpaan itu sebagai ‘pertemuan biasa’, tetapi beliau tidak menghadirinya.

“Saya tidak hadir pada perjumpaan itu, tetapi ada dimaklumkan mengenai pertemuan berkenaan.

“Pertemuan itu adalah biasa, kita jumpa semua orang yang hendak berjumpa kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Sementara itu, Hadi menyifatkan usaha menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional (MN) adalah selaras dengan konsep PAS, bertujuan memperkukuh politik Melayu dan Umat Islam.

Katanya, konsep perjuangan PAS adalah menyatukan masyarakat Melayu Islam dan mesti memimpin negara.

“MN 2.0 juga wajib mengambil kira masyarakat majmuk bukan Islam dan bukan hanya mengajak parti Melayu Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita juga perlu memberi peluang kepada kalangan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat Islam,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dipetik berkata, PAS berpandangan sudah tiba masanya MN 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu serta umat Islam menjelang beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung, terdekat di Johor dan Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top