Tiada undi tidak percaya bukti hubungan kukuh ADUN Pas, Bersatu – MB Perlis

Tiada undi tidak percaya bukti hubungan kukuh ADUN Pas, Bersatu – MB Perlis

KANGAR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang berlangsung selama tiga hari berakhir tanpa sebarang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Abu Bakar berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan hubungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas dan Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis kekal kukuh.

Menurutnya, dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkannya hanyalah spekulasi yang dimainkan pihak tertentu bagi mewujudkan perpecahan dalam gabungan berkenaan.

“Hari ini sudah terang lagi bersuluh. Isu-isu seperti ini dimainkan oleh pihak yang cuba melaga-lagakan PN.

“Bagi saya, usaha seperti ini adalah sebahagian daripada cubaan untuk melemahkan dan memecah-belahkan hubungan antara kami dalam PN,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan DUN Perlis di Kompleks Seri Putra di sini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, sepanjang persidangan berlangsung tidak timbul sebarang usul atau perkara yang boleh menjejaskan hubungan antara Pas dan Bersatu.

Katanya, semua ADUN kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik sehingga persidangan dapat disempurnakan dalam suasana harmoni.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana berjaya menyempurnakan tugas masing-masing.

“Yang penting, kita sentiasa kekal tenang dalam PN dan terus memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjunjung kasih atas titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu pentadbirannya sebagai Menteri Besar diteruskan sehingga tamat tempoh penggal DUN Perlis pada Disember 2027.

Menurutnya, titah berkenaan telah dihormati dan dilaksanakan oleh semua pihak dalam kerajaan negeri.

“ADUN daripada Pas dan Bersatu telah menyempurnakan tugas mereka dengan baik dan perkara yang diperkatakan sebelum ini terbukti tidak berlaku,” kata beliau.

Sementara itu, ketika mengulas laporan media bahawa Pas mengakui wujud pertemuan dengan UMNO, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis berkata, perkara itu perlu dilihat berdasarkan perkembangan semasa.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa penyatuan dalam kalangan parti Melayu perlu terus diperkukuhkan demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu dan kestabilan politik negara.

“Melayu perlu bersatu. Parti-parti Melayu perlu berada dalam satu barisan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu.

“Jika ada masalah, sebaiknya diselesaikan dengan baik dan tidak perlu berterusan bertelagah. Akhirnya rakyat yang akan menjadi hakim dalam menentukan kepimpinan negara,” katanya lagi.

Pada Khamis, media melaporkan ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, Tiada usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar dibawa ADUN Pas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah selari dengan pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan keputusan sedia ada.

Mesti Baca

Artikel Disyorkan

Scroll to Top